Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Baru optimis 30 peratus tender kementerian dikhas pada Bumiputera

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata kementeriannya akan memastikan 30 peratus tender diberikan kepada kontraktor Bumiputera menjelang tahun hadapan.

Beliau berkata jaminan itu selaras dengan pengumuman Belanjawan 2020 yang dibentang pada 11 Oktober lalu.

“Kementerian memang optimis, bagi saya sebagai menteri Kerja Raya, saya faham akan cabaran dihadapi kontraktor Bumiputera.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk memenuhi kehendak mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis makan malam kontraktor Bumiputera di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya di majlis tersebut, Baru menjelaskan bahawa kerajaan akan terus memastikan kebajikan kontraktor dan meletakkan sasaran 30 peratus setiap tender kementerian bagi kontraktor Bumiputera. 

Sebelum ini Menteri Kewangan Lim Guan Eng dilapor berkata,  setakat Ogos tahun ini syarikat Bumiputera berjaya memperoleh kontrak projek baru kerajaan melalui tender bernilai lebih RM3.6 bilion.

Sementara itu, Baru juga menjelaskan bahawa kabinet meminta supaya maklumat terperinci pengambilalihan syarikat konsesi lebuh raya Plus Malaysia Berhad (PLUS) dikemukakan sekali lagi.

Tambahnya, ini juga merupakan arahan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagi menyemak semula perkara tersebut sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita sama ada isu tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat khas kabinet Isnin lalu.

Untuk rekod, kementerian kerja raya sebelum ini mengesahkan menerima lima tawaran bagi mengambil alih kepentingan dalam konsesi PLUS.

Baru juga menjelaskan lima syarikat tersebut adalah Widad Business Group, RRJ Capital, Maju Holding, Khazanah Nasional Berhad dan ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad.

Menurutnya lagi, semua tawaran tersebut akan dinilai dan dikaji sebelum dibentangkan kepada kabinet dalam masa terdekat.

Lihat Komen
ADS