Senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi semua 71 kerusi yang dipertanding dalam pilihanraya negeri Sarawak, akan diumumkan pada 6 Mei depan dua hari sebelum hari penamaan calon.

"Saya akan mengumumkan calon BN pada 6 Mei. Kesemuanya sekali," kata Ketua Menteri dan Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini.

Beliau bagaimanapun, enggan membayangkan sama ada senarai itu sudah dimuktamadkan dan diperakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Taib mengadakan pertemuan dengan Abdullah, selaku Pengerusi BN, di Putrajaya semalam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 24 April lalu. Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan hari penamaan calon pada 9 Mei dan hari pengundian pada 20 Mei.

Bercakap selepas pembubaran DUN Sarawak Isnin lalu, Taib, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, 20 peratus daripada calon BN adalah muka baru selain menyenaraikan lebih ramai calon wanita.

Pembahagian kerusi di kalangan parti komponen BN dalam pilihanraya negeri kali ini ialah PBB 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 19, manakala dua parti berasaskan Dayak luar bandar, Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing sembilan dan lapan kerusi.

Jumlah kerusi juga bertambah daripada 62 kepada 71 kerusi berikutan persempadanan semula kawasan pilihanraya. Sembilan kerusi baru itu ialah Opar, Bukit Sentosa, Lingga, Balai Ringin, Bukit Saban, Daro, Bekenu, Pujut dan Batu Danau.

Menurut laporan Bernama, pPda masa ini, BN Sarawak menguasai 61 daripada 62 kerusi. DAP memenangi satu kerusi dalam pilihanraya negeri yang lalu.