Buat pertamakalinya sejak tahun 1988, parti pemerintah Singapura Parti Tindakan Rakyat (PAP) tidak dikembalikan berkuasa pada hari penamaan calon, apabila parti pembangkang meletakkan calon di lebih separuh daripada 84 kerusi yang dipertandingkan.

PAP memerima mandat untuk terus berkuasa pada hari penamaan calon ketika pilihanraya 1991, 1997 dan 2001 berikutan "strategi pilihan raya kecil" yang digunakan pembangkang ketika itu.

Pembangkang juga akan mempertahankan dua kerusi Hougang dan Potong Pasir yang dimenangi mereka dalam pilihanraya lalu. Penyandangnya, Low Thia Khiang dari Parti Pekerja dan Chiam See Tong dari parti Perikatan Demokratik Singapura, akan mempertahankan kerusi masing-masing kali ini.

Selepas penamaan calon ditutup tengah hari ini, pembangkang meletakkan calon di semua sembilan kawasan pilihanraya anggota perseorangan (SMC) dan tujuh kawasan pilihanraya Perwakilan Berkumpulan (GRC) yang mengandungi 38 kerusi.

Berikutan itu, 47 kerusi akan menyaksikan pertandingan dalam pilihan raya Singapura pada 6 Mei ini. PAP menang tanpa bertanding di tujuh GRC yang semuanya mempunyai 37 kerusi.

Menteri Mentor, Lee Kuan Yew dan Menteri Kanan Goh Chok Tong menang tanpa bertanding di GRC masing-masing, berikutan tiada calon pembangkang diletakkan di GRC Tanjong Pagar dan Marine Parade tempat Lee dan Goh menerajui pasukan enam orang calon.

Pilihanraya pertama PM baru

Menurut laporan Bernama, GRC lain yang dimenangi tanpa bertanding oleh PAP ialah Bishan-Toa Payoh, Jurong, Holland-Bukit Timah, West Coast dan Hong Kah.

Tujuh lagi GRC yang mengandungi 38 kerusi, menyaksikan pertandingan termasuk di GRC Ang Mo Kio dengan Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengetuai pasukan enam calon.

Sembilan lagi kawasan dengan anggota tunggal turut menyaksikan pertandingan.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, yang mengetuai kumpulan enam calon di GRC Ang Mo Kio akan menghadapi pertandingan satu lawan satu menentang calon Parti Pekerja.

PAP memerima mandat untuk terus berkuasa pada hari penamaan calon pada pilihanraya tahun 1991, 1997 dan 2001 dalam apa yang digambarkan sebagai hasil "strategi pilihan raya kecil" yang digunakan pembangkang ketika itu.

Strategi itu merujuk kepada langkah pembangkang bertanding kurang dari separuh jumlah kerusi yang dipertandingkan, dan memberikan kemenangan kepada PAP pada hari pencalonan, dengan harapan pengundi akan memilih lebih ramai calon pembangkang memandangkan parti pemerintah sudah jelas memenangi pilihan raya itu.

Mandat besar

Pada tahun 2001, PAP yang dipimpin oleh Goh yang menggantikan Lee memenangi 82 daripada 84 kerusi dalam pilihanraya yang menyaksikan tiada pertandingan di 55 kerusi. Parti itu juga memenangi undi popular 75.3 peratus.

Perdana Menteri Lee yang menghadapi pilihanraya buat pertama kali sejak dilantik ke jawatannya Ogos 2004, dan sedang berusaha mendapatkan mandat besar, menggambarkan pilihanraya itu sebagai pemilihan untuk masa depan Singapura.

Lee, yang menggesa pembangkang bertanding di semua kerusi memberitahu pemberita selepas tamat tempoh penamaan calon hari ini, bahawa beliau gembira melihat pihak pembangkang meletakkan lebih ramai calon pada pilihan raya kali ini berbanding 2001.

"Saya gembira mereka akan bertanding di banyak kawasan... di 47 kawasan. Jadi pilihan raya kali ini adalah berkenaan memilih siapa yang akan membentuk kerajaan di Singapura," katanya.

Menurutnya beliau optimistik dengan peluang PAP untuk kembali berkuasa pada 6 Mei.

"Kami punyai manifesto sendiri, wawasan kami dan pelbagai program. Kami sudah bersedia," katanya.