Hanya seorang kakitangan wanita dalam Perkhidmatan Pegawai Syariah di seluruh negara yang layak dilantik setakat ini untuk menjadi hakim syarie setakat ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM), Datuk Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, pegawai berkenaan yang baru sahaja dilantik ke gred LS48, kini bertugas sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah Selangor.

Sheikh Ghazali yang juga Ketua Hakim Syarie berkata berdasarkan kedudukan itu, pegawai berkenaan boleh dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis mahabah JKSM bersama masyarakat peringkat negeri di Pulau Pinang, beliau berkata, terpulang kepada kerajaan negeri untuk melantik pegawai berkenaan berdasarkan kelayakannya dan kuasa melantik terletak di tangan sultan.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, penglibatan wanita dalam perkhidmatan syariah masih baru dan kumpulan pertama, yang melibatkan pegawai berkenaan, bermula pada tahun 1994.

"Dari hampir 200 kakitangan JKSM setakat ini, 30 peratus adalah wanita dan mereka masih baru dan perlu melalui proses peningkatan kerja sebelum boleh dipertimbangkan sebagai hakim," katanya.

Menurutnya, seseorang pegawai yang dipilih menjadi hakim perlu mempunyai pengalaman luas dan melalui pelbagai proses peningkatan kerja seperti pernah menjadi pegawai sulh, pegawai pendakwah, peguam di Biro Bantuan Guaman, Jabatan Agama Islam, Ketua Pendakwa Syarie dan Ketua Pendaftar Mahkamah Syarie, sebelum sampai ke tahap tertinggi itu.

"Bukan mudah nak jadi hakim. Bagi Mahkamah Rendah, perlu ada pengalaman kerja 10 hingga 15 tahun manakala bagi Mahkamah Tinggi memiliki pengalaman lebih 20 tahun kerana mereka juga akan bertindak sebagai Hakim Mahkamah Rayuan Syarie," katanya.

Ketika ini, katanya, JKSM dalam proses mengambil pegawai syariah baru untuk mengisi keperluan jawatan dan mungkin ramai lagi wanita yang akan dilantik.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Kamus Data Islam (IDD) yang sedang diusahakan JKSM, dijangka siap dalam tempoh setahun.

Katanya IDD ini akan digunakan dalam sistem komputer e-Syariah, iaitu sistem pendaftaran kes mahkamah syariah secara dalam talian dan apabila siap kelak, ia memudahkan semua jabatan berhubung, menyelaras serta berkongsi maklumat.

Sistem e-Syariah membabitkan aplikasi pembangunan dan pelaksanaan sistem pengurusan kes Mahkamah Syariah, sistem automasi pejabat, portal e-Syariah, sistem pendaftaran peguam syarie dan sistem perpustakaan di JKSM.