Perbalahan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kerajaan berkaitan keputusannya membatalkan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor menghubungkan Malaysia-Singapura tercetus kembali hari ini dengan bekas perdana menteri itu berkata beliau langsung tidak dapat menerima alasan keputusan itu.

Beliau berkata, semasa menjadi perdana menteri, rakan sejawatan Singapuranya ketika itu Goh Chok Tong telah menerima cadangannya membina jambatan itu di sebelah Malaysia tanpa syarat.

Tetapi oleh kerana Singapura tidak sedia membuat keputusan untuk membina jambatan di sebelahnya menggantikan Tambak Johor di sebelahnya, beliau memberitahu Singapura bahawa Malaysia berhasrat membina jambatan di sebelahnya dan bercantum di bahagian Tambak Johor yang juga terletak di sebelah Malaysia.

"Tambak di sebelah Singapura tidak akan disentuh. Sambungan akan tetap antara bahagian Tambak Johor yang dikekalkan. Tidak ada syarat dikenakan bagi persetujuan ini, tidak ada pasir atau ruang udara disebut," kata Dr Mahathir dalam satu kenyataan.

Beliau menjawab kenyataan Duta Kelana Kementerian Luar Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak Isnin lalu bahawa keputusan kerajaan membatalkan projek itu merupakan pilihan terbaik memandangkan sentimen rakyat yang kuat menentang tuntutan Singapura agar Malaysia menjual pasir kepada republik itu dan membenarkan penggunaan ruang udara Malaysia untuk pesawat tenteranya.

Penjelasan berbelit-belit...

Ahmad Fuzi berkata keputusan itu dapat mengelakkan kedua-dua pihak dari bergelut dalam kancah politik dan perbalahan undang-undang yang tak berkesudahan, dan menyatakan, berikutan keputusan itu, Malaysia tidak perlu mempertimbang membatalkan pengharaman eksport pasir dan membenarkan Singapura menggunakan secara terhad ruang udaranya untuk penyelidikan dan kerja-kerja menyelamat.

"Penjelasan Tan Sri Fuzi yang berbelit mengenai jambatan itu hanya meyakinkan bahawa keutamaan dan hasrat kerajaan ialah menjual pasir kepada Singapura. Jika ia tidak dibenarkan berbuat demikian maka Malaysia tidak akan dapat jambatan," kata Dr Mahathir dalam kenyataan 16-perkara.

Menurut laporan Bernama, Dr Mahathir berkata adalah jelas dan direkod secara bertulis yang beliau bercadang membina sebuah jambatan di sebelah Malaysia dan perdana menteri Singapura menyetujuinya".

"Jadi keputusan unilateral menjadi bilateral bila Singapura menyetujui dan menerimanya. Sebarang perubahan mestilah juga dipersetujui oleh kedua-dua pihak," katanya.

Oleh itu, kata Dr Mahathir bagi Singapura menambah syarat lebih dua tahun kemudian bagi pembekalan 50 juta meter padu pasir untuk tempoh 20 tahun dan membenarkan Tentera Udara Singapura terbang di ruang udara Malaysia dianggap perubahan unilateral.

'Bercantum di Tambak Johor'

"Malaysia boleh menolak syarat baru itu dan memaksa Singapura mematuhi persetujuan antara dua Perdana Menteri," kata beliau.

Dr Mahathir mengulangi bahawa jambatan Malaysia akan bercantum di Tambak Johor sebelah Malaysia dan satu-satunya cara Singapura boleh menyekat lalulintas dari Tambak sebelah Malaysia ke sebelah Singapura ialah meletak sekatan di sempadan Tambak Johor.

"Ini pastinya merupakan tindakan tidak mesra. Ia merupakan tindakan Singapura memotong hidungnya hingga merosakkan mukanya.

"Kesan kepada bisnes Singapura sekurang-kurangnya seburuk yang mungkin dihadapi Malaysia. Tetapi, pada realitinya, Singapura memerlukan Malaysia lebih daripada Malaysia memerlukan Singapura. Kita punya pelabuhan dan lapangan terbang menggantikan pelabuhan, lapangan terbang dan perkhidmatan lain Singapura," katanya.

Dr Mahathir berkata tidak perlu dibimbangi hak Malaysia dalam perairan wilayahnya sendiri tetapi kerajaan tidak berusaha sebaiknya bagi menolak syarat dikenakan Singapura.