Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi kekal bebas, pendakwa raya tarik balik rayuan

Pejabat Peguam Negara telah menarik balik rayuannya terhadap pembebasan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli terhadap tuduhan di bawah Akta Perbankan dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia).

Peguam Rafizi, Ahmad Nizam Hamid mengesahkan perkara itu dengan Malaysiakini hari ini.

"Pagi ini peguam negara melalui timbalan pendakwa raya (DPP) telah menarik balik notis rayuan yang difailkan sebelum ini. Notis rayuan itu telah ditandatangani oleh Tommy Thomas (peguam negara) sendiri.

"Ini bermakna keputusan melepaskan dan membebaskan Rafizi oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 15 November lalu kekal. Kini Rafizi lepas dan bebas," katanya ketika dihubungi.

Penarikan balik rayuan itu didengar oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai hakim Yaacob Md Sam. Dua lagi hakim ialah P Ravinthran and Abu Bakar Jais.

Mengucapkan terima kasih kepada Thomas atas keputusan itu, Nizam berkata ia menandakan berakhirnya saga National Feedlot Corporation (NFC) yang bermula tujuh tahun lalu.

"Saya ucapkan terima kasih kepada peguam negara. Bagi saya keputusan ini adalah satu penamat (closure), tertutuplah saga atau kisah kes NFC ini.

"Saya gembira dan Rafizi gembira. Kita lihat ke hadapan," katanya lagi.

Rafizi dan Johari (tengah) dalam sidang media pada 2012

Nizam berkata bekas anggota parlimen Pandan itu tiada sebarang kepentingan peribadi daripada isu NFC, tetapi hanya untuk "menyelamatkan wang negara".

Keputusan Pejabat Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Rafizi dan bekas kerani bank Johari Mohamad, serta menggugurkan hukuman penjara 30 bulan, mencetuskan kritikan.

Thomas kemudian menjelaskan beliau tidak sedar akan perkara itu dan telah mengeluarkan arahan agar tidak berbuat demikian, justeru akan mengambil tindakan terhadap pegawai yang mengingkari keputusan itu.

Didakwa pada 2012, Rafizi dan Johari dijatuhkan hukuman bersalah pada tahun lalu, kerana melanggar Akta Bafia dengan mendedahkan butiran perbankan berkaitan skandal NFC.

Bafia dimansuhkan pada 2013.

Pada 15 November lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengenepikan sabitan bersalah setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menunjukkan dokumen asli seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 61 Akta Keterangan 1950.

Pada mulanya Mahkamah Rayuan dijadual mendengar sebutan kes untuk penarikan balik rayuan pada 9 Mac 2020, tetapi diawalkan kepada hari ini.

Lihat Komen
ADS