Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Awan harap pelantikan Siti Mariah buka jalan lebih luas untuk wanita

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Aiman Athirah berharap pemilihan bekas ketua mereka, Dr Siti Mariah Mahmud, dapat merangsang kepemimpinan parti itu untuk menyediakan ruang yang lebih kepada kaum wanita.

Ahli Dewan Negara itu berkata Awan berpendapat mereka sangat berpuas hati dengan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Parti bagi sesi 2019-2022 baru-baru ini.

Dengan kedudukan Dr Siti Mariah sebagai salah seorang naib presiden Amanah, Aiman Athirah berkata, kini adalah masa untuk exco Selangor itu memberikan sepenuh perhatian kepada struktur parti berbanding perlu mengagihkannya untuk Awan seperti sebelum ini.

“Beliau perlu melihat secara keseluruhan, termasuklah empower (memberdayakan) kaum lelaki untuk memberi ruang kepada kaum wanita, sebab itulah tugasan dia sebagai naib presiden,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Wisma Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pemilihan kepemimpinan Amanah nasional hujung minggu lalu, Siti Mariah adalah antara lima calon wanita yang diketengahkan untuk menduduki 27 tempat dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti berkenaan.

Bagaimanapun hanya Dr Siti Mariah berjaya memperoleh undi untuk berada dalam kelompok 27 calon teratas. Beliau yang juga bekas ahli parlimen Kota Raja kemudian dipilih mengisi salah satu kerusi naib presiden lantikan.

Aiman Athiran berkata penekanan itu selaras dengan pesanan disampaikan Awan dalam tema mereka yang menyokong kepimpinan wanita untuk semua.

Dr Siti Mariah

Selain berpuas hati dengan pemilihan Dr Siti Mariah, Aiman Athirah - atau nama sebenarnya Raj Munni Sabu - berkata pemilihan seorang lagi pemimpin Awan, Norhayati Bidin, sebagai timbalan setiausaha agung juga menjadi pencapaian membanggakan mereka.

Mengulas sama ada mengenai pelantikan Dr Siti Mariah sebagai naib presiden disebabkan sistem kuota, Aiman Athirah berkata, perkara sebegitu tidak berlaku kerana pemilihan pimpinan tertinggi baru-baru ini dilakukan secara syura.

Beliau bagaimanapun menjelaskan tiada peruntukan dalam perlembagaan Amanah yang mengkhususkan salah satu kerusi naib presiden mesti diisi wanita.

Namun katanya semangat parti pada awal penubuhannya bersetuju untuk melantik wanita sebagai naib presiden seandainya tiada antara mereka yang memenangi pemilihan.

Aiman Athirah berkata seandainya jawatan naib presiden dipertandingkan, Awan yakin Dr Siti Mariah mampu memenanginya berdasarkan sokongan yang diterima daripada perwakilan minggu lalu.

“Sebab beliau mendapat undian tinggi, iaitu dalam kelompok 10 teratas," katanya.

Lihat Komen
ADS