Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 organisasi anjur majlis ingati Perjanjian Hat Yai pertubuhan haram

Enam daripada sembilan pertubuhan yang terlibat menganjurkan majlis memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai pada 1 Dis lalu berstatus haram.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, berkata semakan pihak berkuasa mendapati hanya tiga pertubuhan yang menganjurkan majlis berkenaan berdaftar.

“Ya, itu laporan yang saya terima, dan itu maknanya mereka (enam pertubuhan terbabit) tidak berdaftar. Mereka adalah pertubuhan yang haram, tiga sahaja yang daftar," katanya pada sidang media di Pagoh hari ini.

Sidang media itu turut disiarkan secara langsung melalui media sosial.

Menurut Muhyiddin selain isu pendaftaran perkara yang lebih penting diperhatikan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah mengapa pertubuhan berkenaan terbabit dengan kegiatan yang ada kaitan dengan fahamam komunis.

"Apakah ini satu usaha nak ada minat untuk bawa semula ideologi (komunis)?” katanya.

Pada 1 Dis lalu kira-kira 300 orang menghadiri perjumpaan dan perhimpunan sebagai memperingati perjanjian dalam di antara Parti Komunsi Malaya (PKM) dan kerajaan Malaysia.

Dipanggil ke ROS

Melalui perjanjian ditandatangani di Hat Yai, Thailand pada 2 Dis 1989 itu PKM bersetuju meletak senjata sekali gus menamatkan penentangan mereka kepada Kuala Lumpur.

Selain di Kajang, acara sama turut dibuat di Songkhla, Thailand pada 2 Disember lalu. Kedua-dua program dihadiri bekas anggota PKM.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, berkata sembilan persatuan dikenal pasti terlibat dalam kes penganjuran tersebut.

Pihaknya juga mengenal pasti empat individu yang memberi ucapan pada majlis berkenaan iaitu Adun Sungai Pelek, Ronnie Liu; editor Persatuan Persahabatan Abad ke-21, wakil PKM dan wakil Persatuan Kawan Karib Sarawak.

Sementara itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) menyatakan enam organisasi tidak berdaftar itu dianggap "pertubuhan yang menyalahi undang-undang” mengikut Seksyen 41(1) (b), Akta Pertubuhan 1966

“Seksyen 43 akta berkenan menyatakan, mana-mana orang yang didapati menjadi anggota sesuatu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, dianggap melakukan suatu kesalahan yang sekiranya disabitkan boleh dijatuhkan hukuman penjara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Baca Bekas IGP: Tak salah buat acara kenang Perjanjian Hat Yai


Mengulas lanjut, ROS menjelaskan tiga pertubuhan berdaftar yang menganjurkan majlis berkenaan ialah Persatuan Persahabatan Abad Kedua Puluh Satu Malaysia, Persatuan Persahabatan Phoenix Malaysia dan Persatuan Persahabatan Berpanjangan Malaysia.

"ROS mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 66, Akta Pertubuhan 1966 supaya ahli jawatankuasa pertubuhan tersebut hadir untuk memberi keterangan berkaitan penglibatan pertubuhan dalam majlis peringatan tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS