Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas IGP: Tak salah buat acara kenang Perjanjian Damai Hat Yai

Acara bagi memperingati ulang tahun ke-30 Perjanjian Damai Hat Yai yang diadakan di Kajang baru-baru ini bukanlah satu kesalahan, kata bekas ketua polis negara Rahim Noor.

“Tidak ada apa salahnya kalau mahu mengingatkan kembali peristiwa atau detik sejarah kerajaan kita menandatangani perjanjian damai ini di Bandar Hatyai di Thailand 30 tahun lalu.

“Orang kata sebagai tanda bersyukur selesainya masalah dengan komunis dan tidak ada tujuan lain hanya untuk bersyukur sahaja negara kita selamat," katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Rahim memainkan peranan penting dalam perjanjian damai itu, yang ditandantangai antara kerajaan Malaysia, kerajaan Thailand dan Parti Komunis Malaya. Ia menandakan tamatnya pemberontakan komunis di Malaysia.

Katanya lagi, ia hanya menjadi kesalahan jika acara itu mempunyai agenda untuk menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini.

Jika ia berlaku, katanya, pihak yang bertanggungjawab terutama polis perlulah mengambil tindakan tegas.

Selain di Kajang pada Ahad lalu, acara sama turut dibuat di Songkla, Thailand pada 2 Disember lalu. Kedua-dua program dihadiri bekas anggota PKM.

Polis telah memulakan siasatan terhadap kedua-dua acara itu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dilaporkan telah mengarahkan polis untuk menyiasat program yang diadakan di Kajang itu.

Isu berkaitan komunisme kembali diperkatakan setelah abu mayat pemimpin PKM, Chin Peng, dibawa pulang.

Ia menimbulkan kecaman pelbagai pihak tetapi Rahim berkata Perjanjian Damai Hat Yai membolehkan semua anggota PKM, termasuk Chin Peng, untuk kembali ke Malaysia.

"Jadi kalau Chin Peng boleh balik, takkanlah abu dia tak boleh balik," katanya pada 28 November lalu.

Lihat Komen
ADS