Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Masjid, surau disaran anjur program kanak-kanak OKU

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh mencadangkan agar rumah ibadat khususnya masjid dan surau menganjurkan program bagi membantu komuniti orang kelainan upaya (OKU).

Jelasnya, beliau berpendapat aktiviti sebegini di rumah ibadat dapat memberi sokongan terutama kepada kanak-kanak OKU dan juga ibu tunggal.

“Saya rasa rumah ibadat macam masjid surau boleh beri bantuan sokongan dekat kelompok komuniti OKU dan ibu tunggal.

“Mungkin mereka (masjid dan surau) boleh buat aktiviti bersama ibu tunggal dan OKU, mereka boleh rujuk kepada MaKasih untuk butiran lanjut ,” katanya ketika ditemui di majlis ulang tahun ke-10 MaKasih di Subang hari ini.

MaKasih merupakan sebuah projek komuniti bagi membantu kanak-kanak istimewa yang mempunyai masalah pembelajaran di Subang Jaya.

Kini projek tersebut sudah membantu lebih 100 kanak-kanak itu dengan menyediakan permainan dan juga bahan bacaan bagi menarik minat mereka.

Diasaskan pada Julai 2009, projek tersebut adalah gabungan dari organisasi kerja sosial Malaysia Care, Pejabat Dun Subang Jaya dan City Discipleship Presbyterian Church (CDPC).

Sementara itu, Yeoh juga berharap bahawa kerajaan dan juga sektor pekerjaan swasta mula membuka ruang pengambilan pekerja kepada komuniti OKU.

Tambahnya, ini bagi memberi semangat dan menunjuk sikap keterbukaan terhadap kelompok istimewa itu dalam menjalani kehidupan seperti masyarakat biasa. 

Lihat Komen
ADS