Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zuraida jawab isu pengecualian deposit pada pemaju

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin tampil menjelaskan bahawa "pengecualian" deposit kos pembinaan yang diberikan kepada beberapa pemaju bukanlah bermaksud pengecualian sepenuhnya.

Sebaliknya, syarikat perlu mempunyai rekod prestasi yang baik dan kemampuan kewangan yang mencukupi sebelum mereka dibenarkan membayar di bawah deposit tiga peratus yang biasa, katanya.

"(Bagi) orang-orang yang diberikan pengecualian, kita perlu mengesan rekod prestasi mereka terlebih dahulu serta keupayaan kewangan mereka.

"Berdasarkan itu, kami (kementerian) bersedia melakukan pengecualian itu kerana kami ingin memastikan mereka mempunyai kecairan untuk menyelesaikan projek itu, dan tidak terhenti separuh jalan.

"Kami masih mengenakan (deposit) kepada mereka (tetapi) dasar saya ialah jika mereka sepatutnya memberi RM13 juta (sebagai contoh), saya hanya mengambil 10 peratus daripada itu untuk dimasukkan ke dalam dana Permit Pengiklanan dan Lesen Pembangun (APDL), " katanya sebagai menjawab soalan pemberita.

"Ini bukan pengecualian sepenuhnya, ada angka yang dilampirkan pada deposit itu... kerana minimum ialah RM200,000," tambah Zuraida.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kementerian telah mengecualikan 122 pemaju daripada membayar deposit penuh - tiga peratus daripada kos pembinaan keseluruhan - sebagai insentif bagi mereka untuk membina lebih banyak perumahan mampu milik.

Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) membantah tindakan itu dan menegaskan bahawa kadar tiga peratus sepatutnya dikenakan untuk memastikan penyelesaian projek.

Pemberian pengecualian itu bukan amalan baru, malah ia pernah dilakukan pentadbiran lalu di bawah kerajaan BN.

Hab komuniti bagi penduduk flat Ampang

Zuraida ditemui media selepas melancarkan "Hab Komuniti" bagi penghuni rumah kos rendah Taman Dagang di kawasannya di Ampang pagi tadi.

Dibina daripada bekas logam yang diperbaharui dengan pelbagai warna dan dikuasakan oleh panel solar, hab komuniti itu mempunyai perpustakaan dan bilik darjah.

Sekeliling hab berkenaan adalah taman komuniti, ruang seni serta ditambah dengan sudut kitar semula.

Zuraida berkata inisiatif hab kedua di bawah kementeriannya dibina dengan menelan kos sebanyak RM60,000 tetapi dibiayai sepenuhnya oleh penaja.

Sementara itu, bercakap pada majlis pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif Urbanice Malaysia Norliza Hashim berkata pasukannya telah mendapat maklum balas penduduk flat Taman Dagang pada Oktober tahun lalu mengenai projek tersebut.

Katanya, pembinaan hab berkenaan berkenaan bertujuan untuk menjadikan ia satu pusat yang mampu menghubungkan masyarakat yang tinggal di kejiranan sama.

"Hab komuniti ini dari segi kegunaannya, dan berfungsi mengikut keperluan penduduk itu sendiri.

"Apa-apa saja kemudahan yang disediakan perlu disesuaikan dengan apa yang penting bagi penduduk-penduduk di kawasan tersebut," katanya.

Lihat Komen
ADS