Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MTUC: Dakwaan penjawat awam sabotaj tak betul
Diterbitkan:  Dec 15, 2019 5:24 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu kerajaan Pakatan Harapan meletakkan mekanisme untuk menghalang menteri daripada bertindak terhadap penjawat awam berikutan dakwaan "daulah terpendam" dalam perkhidmatan awam.

Organisasi itu tidak bersetuju dengan dakwaan itu dan "tuduhan jahat" mengatakan penjawat awam tidak bekerjasama dengan pentadbiran parti pemerintah yang baru.

"Dakwaan sebegitu dan tuduhan-tuduhan jahat tidak patut wujud ... jelas masalahnya berpunca daripada komunikasi yang lemah daripada pelbagai menteri.

"Kami (MTUC) tidak bersetuju dengan dakwaan penjawat awam yang mensabotaj menteri kerajaan.

"Oleh itu, tidak adil bagi menteri-menteri tertentu untuk bertindak terhadap pegawai kanan kerajaan atas dasar emosi dan khabar angin. Ini termasuk tindakan pemindahan serta-merta daripada jabatan mereka sekarang," katanya.

Setiausaha Agung MTUC J Solomon dalam kenyataannya mengulang pendirian Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) baru-baru ini.

Antara lain, Solomon mendakwa terdapat pegawai kanan yang dikenakan tindakan "cold-storaged" oleh para menteri tanpa dipanggil untuk membela diri.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menamakan mana-mana menteri tertentu.

Menteri salah guna kuasa

"Mekanisme yang kami usulkan adalah sesuatu yang memerlukan menteri menyatakan secara terbuka sebab-sebab tertentu tindakan mereka terhadap badan independen peringkat yang lebih tinggi sebelum keputusan muktamad diambil.

"Ia tidak boleh semata-mata disebabkan seorang menteri itu merasa tidak senang dengan pegawai-pegawai tertentu. Ini akan menyebabkan berlakunya penyalahgunaan kuasa sebagaimana kita lihat sekarang," dakwanya lagi.

Walaupun begitu, beliau menambah bahawa terdapat banyak menteri yang bertindak dengan bertanggungjawab dan menjalankan tugas dengan baik.

Beliau berkata para menteri patut, sebaliknya, menjauhkan tanggapan bahawa penjawat awam tidak menerima kepimpinan mereka.

"Pertimbangkan mereka sebagai rakan sepasukan untuk mencipta Malaysia Baru."

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata minggu lepas beliau akan meneliti tuduhan kewujudan "daulah terpendam" di kalangan penjawat awam untuk mensabotaj pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Pada tahun lalu, beliau mendakwa budaya mensabotaj pelaksanaan dasar kerajaan masih wujud di kalangan penjawat awam.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga dilaporkan berkata terdapat pasukan rahsia dalam jabatan kerajaan yang berbeza berada di belakang beberapa skandal baru-baru ini yang didakwa melibatkan DAP.

Bagaimanapun, Menteri Undang-undang Vui Liew Keong pada awal bulan ini memberitahu Dewan Rakyat tidak ada tanda-tanda penjawat awam tidak setia terhadap kerajaan, walaupun tanggapan orang ramai mengenai hal itu adalah berbeza.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga berkata Putrajaya akan terus mengawasi perkhidmatan awam untuk mencegah ketidakpatuhan dan menghilangkan tanggapan negatif terhadap mereka.

Lihat Komen
ADS