Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Agensi martabatkan bahasa Melayu jadi mangsa kerajaan PH’
Diterbitkan:  Dec 16, 2019 11:53 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwanya sering ‘menjual mimpi’ sedangkan hakikatnya, ekonomi negara sudah tidak semakmur semasa pentadbiran BN hingga menyebabkan ramai rakyat kehilangan pekerjaan.

Merujuk beberapa kejadian, termasuk terbaru mengenai pengecilan operasi Media Prima yang bakal menyaksikan lebih 500 pekerja akan dibuang, katanya semua pemberhentian itu adalah kerana sikap tidak peduli kerajaan.

“Apa sebenarnya yang berlaku kepada negara kita ini? Seminggu ini terdapat ura-ura bahawa beribu pekerja Media Prima di TV3, NTV7, 8TV, TV9, New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro bakal diberhentikan.

“Kepada yang berhadapan musibah kehilangan kerja ini, bertabahlah. Insya-Allah ada rezeki di jalan lain,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan melaui Umno Online.

Menurut Mohamad, apa yang lebih menyedih dan membimbangkan, terdapat kecenderungan kehilangan kerja ini membabitkan kepentingan bahasa kebangsaan.

“Adakah semua pemberhentian membabitkan industri yang mengembang dan menyuburkan bahasa kebangsaan ini, kerana faktor ekonomi semata-mata atau juga kerana sikap tidak peduli kerajaan?

“Pada Oktober lalu Utusan Melayu (M) Berhad terpaksa ditutup dan mengakibatkan hampir 1,000 orang hilang pekerjaan.

“Bulan lalu juga Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengumumkan beratus orang pekerjanya akan ditamatkan perkhidmatan dalam masa sebulan dua ini.

“Saya khuatir, tidak lama lagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga akan berhadapan dengan tindakan rasionalisasi sumber, yang hampir sama,” katanya.

Menurut timbalan presiden Umno itu, PH sebelum ini menjanjikan sejuta pekerjaan baharu namun apa yang berlaku sejak setahun ini semakin ramai yang hilang pekerjaan di mana tahun ini sahaja berpuluh ribu orang telah hilang pekerjaan.

Malah katanya, tindakan pemimpin PH seperti ‘bertelur sebiji riuh sekampung’ sahaja.

“Dulu mereka punya seribu jawapan membela nasib pekerja, hari ini mereka buat-buat tidak nampak ‘gajah di depan mata’.

“Kerajaan punya banyak kuasa dan pengaruh, mengurangkan beban rakyat termasuk membantu industri berkaitan ilmu dan bahasa kebangsaan.

“Namun kuasa sentiasa menguji dan mengalpakan manusia,” katanya.

Lihat Komen
ADS