Mayat seorang wanita warga Myanmar ditemukan berlumuran darah disyaki dibunuh suaminya yang juga dari negara sama, di rumah sewa mereka di tingkat 19 sebuah apartment di Butterworth, Pulau Pinang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, ACP Noorzainy Mohd Noor, berkata mayat Yoon Hati Htike, 29, yang bekerja sebagai pembantu klinik itu ditemukan dalam bilik utama rumah sewa mereka.

Katanya pergi ke kediaman tersebut selepas dimaklumkan Yoon tidak datang bekerja sejak tiga hari lepas.

"Polis menerima laporan daripada majikan wanita itu yang memaklumkan mangsa tidak hadir bekerja dan gagal menghubunginya.

"Kami berjaya mengesan alamat rumah wanita tersebut kira-kira pukul 8 malam serta memanggil pemilik rumah untuk membukanya kerana berkunci," katanya kepada pemberita, di Butterworth malam tadi.

Beliau berkata sebaik rumah itu berjaya dibuka, terdapat kesan darah di beberapa tempat dan polis membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat wanita tersebut dibungkus dalam selimut serta diletakkan di bawah katil di bilik utama kediaman berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan polis menemui pisau yang digunakan untuk membunuh mangsa masih tercucuk di lehernya dan terdapat juga beberapa kesan tikaman di badan wanita terbabit.

Noorzainy berkata siasatan awal dan berdasarkan keadaan mayat yang sudah berbau busuk, wanita itu dipercayai telah meninggal dunia lebih 48 jam.

Suami mangsa yang juga berusia 29 tahun dipercayai melarikan diri selepas kejadian tersebut.

"Mangsa dan suaminya menyewa di rumah itu sejak empat bulan lepas. Mereka berdua merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR)," katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kejadian tersebut berlaku disebabkan suami mangsa cemburu dengan isterinya dan wanita itu juga pernah bercerita dengan majikannya lelaki berkenaan pernah mengugut untuk membunuhnya.

Katanya majikan mangsa menasihatinya agar membuat laporan polis, namun dia tidak sempat membuat laporan kerana dipercayai dibunuh suaminya.

Beliau berkata ekoran kejadian itu, polis kini dalam usaha mengesan suspek bagi membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

"Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.

- Bernama