Para penternak babi di Melaka menganjurkan makan malam solidariti di Sekolah Menengah Cina Pay Fong di bandar Melaka malam ini, sebagai membantah keputusan kerajaan negeri menutup 26 ladang babi Kampung Kuala Sungai Baru.

Majlis ini dijangka dihadiri oleh ahli-ahli politik pembangkang dan ahli-ahli persatuan Tionghua di Melaka dan Selangor.

Difahamkan, wakil penternak terbabit akan berucap mengenai masalah yang mereka hadapi. Dijangka ratusan orang akan menghadiri majlis makam mulai yang bermula jam 8 malam ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan, kerajaan negeri melaka mengarahkan supaya ladang ternakan babi di Bukit Beruang di Alor Gajah ditutup kerana ia juga mengakibatkan pencemaran yang boleh menjejaskan aktiviti pembangunan yang sedang giat berjalan di situ.

"Ladang ternakan babi itu terletak bersebelahan dengan Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka, dan banyak aduan diterima daripada masyarakat sekitar, termasuk pelajar kolej itu, mengenai baunya sehingga menimbulkan rasa tidak selesa pada waktu makan, sembahyang atau bersiar-siar," kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Kerajaan, katanya, hanya membenarkan ternakan babi diusahakan di Paya Mengkuang dan Kampung Man Lok, Alor Gajah, dengan mematuhi peraturan tertentu bagi mengelak pencemaran.

Tapak pelupusan

Katanya, kerajaan Melaka tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan sumber bekalan air bersih untuk keperluan penduduknya.

Walaupun gejala itu tidak berlaku di Melaka, kerajaan negeri mengambil pendirian tegas itu ekoran insiden bekalan air tercemar yang dialami jutaan penduduk di Lembah Klang baru-baru ini, berpunca daripada air larut yang meresap ke sungai dari beberapa tapak pelupusan sampah atau pelepasan najis dari ladang ternakan babi.

Mohamed Ali berkata isu itu tidak berbangkit di Melaka kerana kedua-dua tapak pelupusan sampah yang ada di negeri itu sekarang terletak jauh dari sumber air. Kedua-dua tapak itu masing-masingnya terletak di Krubong di sini dan Ayer Molek di Alor Gajah.

Bekalan air negeri Melaka adalah dari Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dan Empangan Jus di Jasin serta beberapa sungai yang jauh dari tapak pelupusan sampah dan premis perindustrian.

Menurut Mohamed Ali, kerajaan negeri telah bertindak menghentikan semua aktiviti penggondolan hutan atau bukit serta menutup beberapa ladang ternakan babi, terutama di daerah Jasin, dua bulan lalu.

Walaupun ada pihak kurang senang dengan tindakan menutup ladang ternakan babi itu, ia dilihat perlu untuk mencegah pencemaran sumber bekalan air kerana ladang-ladang terbabit terletak dalam kawasan tadahan air, perindustrian dan perumahan.

Empangan baru

Sementara itu, Pengurus Besar Perbadanan Air Melaka (PAM) Baharam Mohamad memberi jaminan Melaka tidak akan menghadapi masalah bekalan air, sekurang-kurangnya sehingga tahun 2018, dan perancangan rapi untuk memastikan bekalan yang berterusan selepas tarikh itu telahpun dilakukan.

Sebuah empangan baru akan dibina di Sungai Jernih, Alor Gajah dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan. Empangan seluas 1,000 hektar itu mampu menampung keperluan air mentah penduduk Melaka sehingga tahun 2022.

Beliau berkata empangan Sungai Jernih yang membabitkan kos RM100 juta itu mampu menakung 20 bilion liter air.

Empangan Jus, yang baru siap dibina, setakat ini telah menakung 80 peratus air daripada kapasiti sebenarnya. Simpanan air di situ akan digunakan untuk musim kemarau.

Baharam berkata semua empangan dan loji memproses air yang ada di Melaka sekarang mampu membekalkan 495 juta liter air sehari, melebihi keperluan harian sebenar 380 juta liter.

Beliau juga berkata 4,000 kilometer paip lama yang berusia lebih 30 tahun akan diganti dengan paip baru membabitkan kos RM1 bilion.