Semua pihak perlu menerima hakikat apabila berlaku perubahan kepimpinan, pemimpin semasa mungkin membuat tindakan dan keputusan berbeza dari pimpinan terdahulu, Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perbezaan pendapat antara kerajaan dan bekas Perdana Menteri itu berhubung pembatalan pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor.

"Amalan untuk sesuatu kerajaan ambil tindakan adalah berlainan dari masa ke satu masa. Ini adalah suatu amalan yang lazim, bukan perkara luar biasa. Ini tidak bermakna kita telah gagal melihat isu-isu tertentu.

"Saya fikir kita kena terima hakikat bila ada perubahan pimpinan, pimpinan semasa mungkin membuat tindakan dan keputusan berbeza dari pimpinan terdahulu. Ini tidak bermakna dia membuat semata-mata untuk memuaskan hati atau perasaan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak seharusnya berpanjangan sehingga menimbulkan suasana yang boleh menggugat perpaduan dan kekuatan negara.

Menurut laporan Bernama, Syed Hamid berkata, perbalahan sebegini tidak sepatutnya menimbulkan gambaran kepada dunia luar seolah-olah wujud krisis politik di negara ini.

"Bahawa keputusan yang diambil kerajaan tidak semestinya dipersetujui (oleh semua orang) dan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku bekas Perdana Menteri mempunyai hak untuk tidak bersetuju dan memberi tafsiran berlainan daripada apa yang dipegang oleh kerajaan Malaysia.

Kedaulatan negara

"Hujah dan pandangan sebegini saya fikir akan berterusan diberikan tapi soalnya kerajaan melihat ia telah mengambil (keputusan ini) bagi kepentingan rakyat Malaysia dan kebaikan Malaysia. Kita tidak menggadaikan kepentingan dan kedudukan serta kedaulatan negara kita.

"Yang penting jangan sesama kita berbalah dan bertelingkah," katanya kepada pemberita sebagai mengulas kenyataan Dr Mahathir mengenai isu itu.

Dr Mahathir berkata beliau langsung tidak dapat menerima alasan keputusan pembatalan pembinaan jambatan itu oleh kerajaan.

Syed Hamid berharap tidak berlaku keadaan sehingga isu ini boleh memecahbelahkan negara.

"Kita buat keputusan berasaskan faktor tertentu. Lepas itu ada pula yang tidak bersetuju dan kalau tidak bersetuju, jangan pula bangkitkan sentimen yang boleh merosakkan perpaduan dan kekuatan kita. Kita tak boleh berhentikan sesiapa (daripada memberikan pandangan), lebih-lebih lagi orang yang ada kedudukan, yang amat dihormati dan tinggi dalam pandangan rakyat jelata.

"Masing-masing memberi penjelasan dan hujah. Kalau ada tidak bersetuju dia mempunyai hak suarakannya dan selepas itu perkara itu tidak seharusnya menimbulkan satu suasana yang boleh bangkitkan seolah ada krisis politik," kata Syed Hamid.