Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumpah laknat untuk 1MDB juga Najib, saran Akmal
Diterbitkan:  Dec 18, 2019 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Sempena kesanggupan Najib Razak melakukan sumpah laknat bagi menafikan tuduhan yang dikaitkan kepadanya berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, bekas perdana menteri itu dicadangkan agar turut melakukan hal sama dalam isu 1MDB.

Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir, berkata sebelum ini mahkamah sudah menetapkan 20 April tahun depan untuk mendengar permohonan Azilah Hadri untuk menyemak sabitan ke atasnya.

"Tapi alang-alang @NajibRazak nak sumpah laknat, elok sumpah sekali pasal kickback (rasuah) 1MDB.

"Cepat sikit rakyat boleh tahu berapa banyak...," ciapnya di Twitter petang ini.

Akmal yang juga ahli parlimen Johor Bahru menciap begitu sambil melampirkan tangkap layar kenyataan Najib berkenaan cadangannya melakukan sumpah laknat.

Terdahulu Najib - yang kini dibicarakan atas lebih 40 tuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram - memberitahu beliau akan melakukan sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Azilah yang mengaitkannya dengan pembunuhan Altantuya.

 

Dakwaan bekas anggota elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dibuat elalui perakuan bersumpah (SD) yang dibuat dalam usaha memohon agar sabitan hukuman mati diputuskan mahkamah disemak semula.

"Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam akuan bersumpah yang dikeluarkan Azilah Hadri.

"Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas solat Jumaat minggu ini," ciapnya di Twitter hari ini.

Dalam SD yang menggemparkan itu, Azilah menceritakan secara panjang lebar berkenaan apa yang menurutnya sebagai "kebenaran" tentang pembunuhan warga Mongolia terbabit.

Lihat Komen
ADS