Najib: Jual pasir, guna ruang udara idea Singapura
Idea mengenai penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh pesawat Singapura sebagai syarat pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, datangnya daripada republik itu.
Idea mengenai penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia oleh pesawat Singapura sebagai syarat pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor, datangnya daripada republik itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu dibawa ke pengetahuan Jemaah Menteri selepas ditimbulkan di peringkat pegawai kedua-dua negara.
"Bagaimanapun, Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa menjual pasir dan membenarkan Singapura menggunakan ruang udara kita sukar diterima, terutama sekali oleh rakyat Malaysia.
"Jadi kita mengambil keputusan demikian (membatalkan pembinaan jambatan itu)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan Sisa Pepejal di Putrajaya semalam.
"Kabinet telah memutuskan perkara ini dan jelas kita tak ada cadangan nak jual pasir," kata Najib.
Menurut laporan Bernama, kenyataan terbaru bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu jambatan itu menyebut beliau langsung tidak dapat menerima alasan keputusan pembatalan projek itu oleh kerajaan.

