Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor, Abdul Halim Suleiman menjelaskan, hanya tiga tangki minyak Petronas yang terbakar akibat dipanah petir petang semalam, dan bukannya 16 tangki seperti yang dilaporkan oleh media tertentu.

Katanya, anggota bomba dan penyelamat Johor berjaya memadamkan kebakaran tiga tangki minyak Petronas Dagangan Berhad (PDB) di Pelabuhan Pasir Gudang pada kira-kira pukul 2.49 pagi ini.

"Ia hanya membabitkan tiga tangki, dua menyimpan minyak petrol dan sebuah lagi gas asli. Kita amat bersyukur bahawa ia telah berjaya dipadamkan sepenuhnya awal pagi tadi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati kebakaran itu berpunca daripada panahan petir yang menyambar tangki minyak ketika hujan lebat semalam tetapi siasatan lanjut akan dijalankan.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkuasa pelabuhan juga akan mengkaji kaedah terbaik untuk mengelak kejadian sama daripada berulang. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Penduduk panik

Katanya, operasi pelabuhan serbaguna itu berjalan seperti biasa tetapi operasi pusat penyimpanan minyak itu akan ditutup sehingga siasatan mengenai kejadian tersebut selesai.

Kebakaran itu berlaku jam 6.20 petang semalam apabila tiga tangki di pusat penyimpanan yang keseluruhannya menempatkan 16 tangki minyak dan gas asli itu, terbakar menyebabkan asap hitam berkepul-kepul di udara dan boleh dilihat dari jauh.

Kejadian itu turut menimbulkan rasa panik di kalangan penduduk sekitar.

Kebakaran bagaimanapun berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba dan penyelamat dari Johor Baharu, Permas dan Pasir Gudang, dengan dibantu oleh pasukan memadam kebakaran daripada beberapa kilang di kawasan sekitar seperti kilang Idemitsu, Titan dan pihak berkuasa pelabuhan itu.

Selain Petronas, Pelabuhan Pasir Gudang yang merupakan antara pelabuhan tersibuk di negara ini turut menempatkan beberapa lagi pusat penyimpanan bahan api dari syarikat petroleum yang lain serta beberapa industri seperti kimia dan lain-lain.