16 tapak buang sampah di tujuh negeri ditutup
Enam belas tapak pembuangan sampah terbuka di tujuh negeri di Semenanjung yang terletak berhampiran punca air, diarahkan ditutup segera bagi menjaga alam sekitar dan untuk kebaikan orang ramai.
Enam belas tapak pembuangan sampah terbuka di tujuh negeri di Semenanjung yang terletak berhampiran punca air, diarahkan ditutup segera bagi menjaga alam sekitar dan untuk kebaikan orang ramai.
Arahan itu dibuat oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan Sisa Pepejal dalam mesyuarat sulungnya semalam, yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tapak-tapak berkenaan terletak di Negeri Sembilan (1), Perak (1), Selangor (2), Melaka (2), Pahang (2), Johor (4) dan Kedah (4).
Najib berkata jawatankuasa tersebut juga memutuskan supaya kaedah penutupan selamat digunapakai di 33 tapak pembuangan sampah di seluruh negara yang telahpun ditutup sebelum ini.
Jawatankuasa kabinet itu ditubuhkan bagi mengkaji semula sistem pelupusan sisa pepejal negara berikutan pencemaran air mentah akibat resapan cecair larut resap dari tempat pembuangan sampah dan tapak pembuangan sampah terbuka.
Menurutnya, kerajaan bersedia membelanjakan seberapa banyak yang diperlukan untuk menutup tapak pembuangan sampah itu dengan menggunakan kaedah yang selamat, berpandukan pelan tindakan yang akan disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Cari kaedah lain
"Tiada kompromi dalam isu ini kerana jika dibiarkan berlarutan, ia boleh mengancam keselamatan orang ramai," kata Najib.
Beliau berkata permintaan oleh beberapa kerajaan negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Johor untuk membina tapak pembuangan sampah tsanitari tambahan akan dikaji oleh sebuah jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Jawatankuasa teknikal ini, kata beliau, juga dipertanggungjawabkan untuk mengkaji teknologi baru yang dikemukakan berhubung dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan pelupusan sisa pepejal untuk pertimbangan jawatankuasa kabinet itu dan, jika perlu, oleh Kabinet sendiri.
Menurut laporan Bernama, Najib berkata bagi tempoh jangka panjang, semua tapak pelupusan sampah yang tidak dikategorikan sebagai tempat pelupusan sampah sanitari akan ditutup secara berperingkat-peringkat.
Sebagai tambahan, katanya, fasa pertama tapak pelupusan sampah sanitari di Bukit Tagar akan diteruskan kerana ia didapati sebagai pilihan yang sesuai untuk pelupusan sisa pepejal.
Mesyuarat juga diberi taklimat mengenai konsep bahan bakar yang terhasil daripada sisa yang boleh menjana tenaga daripada pelupusan sisa pepejal yang dikendalikan oleh sebuah syarikat di lojinya di Semenyih.
Satu laporan penilaian mengenai sistem itu akan dibentangkan kepada jawatankuasa kabinet itu dalam masa dua bulan sebelum keputusan diambil sama ada hendak diperluaskan ke kawasan lain ataupun tidak, kata Najib.

