Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kit Siang: Najib tak mahu sumpah laknat dalam kes 1MDB?
Diterbitkan:  Dec 19, 2019 1:58 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Susulan kesanggupan Najib Razak melakukan sumpah laknat bagi menafikan tuduhan yang dikaitkan kepadanya berhubung kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, bekas perdana menteri juga turut dicabar untuk membuat perkara yang sama berkenaan isu 1MDB.

Cabaran itu diutarakan oleh veteran DAP Lim Kit Siang hari ini.

“Adakah Najib akan membuat sumpah laknat untuk menafikan tuduhan terbaru oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC).

“[..] bahawa dia adalah penerima wang sogokan daripada bon 1MDB yang diraih bekas eksekutif Goldman Sachs Tim Leissner dalam skandal 1MDB kleptokrat yang besar?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sumpah laknat adalah sumpah yang memohon kepada Allah untuk mengutuk orang-orang yang salah.

SEC menamakan Najib sebagai salah satu daripada penerima rasuah dari Leissner.

Leissner didapati telah menyalahgunakan lebih daripada AS$2.7 bilion selepas bantu menaikkan bon bernilai AS$ 6.5 bilion untuk 1MDB pada tahun 2012.

Semenjak itu, SEC telah bertindak untuk mengharamkan Leissner dari kembali ke industri sekuriti sepanjang hidupnya.

Najib kini sedang dibicarakan untuk skandal 1MDB.

Selain 1MDB, ahli parlimen Pekan juga terbaharu berdepan dakwaan mengarahkan Altantuya dibunuh pada 2006 ketika menjadi timbalan perdana menteri.

Semalam, beliau berkata beliau sanggup bersumpah laknat untuk menafikan tuntutan tersebut.

Bekas anggota keselamatannya, Azilah Hadri, yang kini berdepan hukuman mati kerana membunuh rakyat Mongolia itu mendedahkan perkara tersebut dalam akuan bersumpahnya.

Dia juga memohon perbicaraan semula kes itu daripada Mahkamah Persekutuan.

Susulan itu, Majlis Peguam meminta siasatan baru dilakukan ke atas tuntutan Azilah.

Lim juga menyokong tindakan tersebut dilakukan.

“Mungkin semua peguam dan rakyat Malaysia yang mencintai keadilan harus bersuara bagi menyiasat semula proses keseluruhan penyiasatan, pendakwaan, dan percubaan pembunuhan Altantuya," cadang anggota parlimen Iskandar Puteri.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS