Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
6 Mei - Bicara permohonan Najib, Rosmah ketepi saman Deepak

Bekas perdana menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor bersama seorang lagi individu telah mengemukakan permohonan untuk mengetepikan saman ke atas mereka yang difailkan oleh Pengarah Carpet Raya Sdn Bhd, Deepak Jaikishan serta dua lain, berhubung cukai yang dikenakan selepas mendakwa bertindak sebagai proksi kepada pasangan itu.

Ini disahkan oleh peguam Nasbal Harun selepas menghadiri pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon, pagi tadi.

Nasbal berkata Najib, Rosmah dan Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim membuat permohonan untuk mengketepikan saman itu pada 24 September lalu.

Peguam itu memberitahu bahawa mahkamah telah menetapkan 6 Mei tahun depan untuk mendengar permohonan mereka dan telah mengarahkan semua pihak untuk memfailkan hujahan bertulis sebelum 28 Februari.

Peguam Cheryl Chong Wei Teng mewakili Najib dan Rosmah manakala peguam Arwindar Gill bertindak untuk Azeez.

Nasbal, berkata defendan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu, atas alasan saman berkenaan remeh temeh dan mereka percaya plaintif tidak mempunyai sebab kukuh untuk mengambil tindakan menyaman mereka.

“Mahkamah turut memerintahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis menjelang 28 Feb 2020,” katanya.

Dalam saman difailkan pada 15 Nov, 2018, Deepak mendakwa antara 2004 dan 2010, beliau dan syarikat telah bertindak sebagai ejen dan proksi kepada Najib dan Rosmah dalam traksaksi tanah dan urusan perniagaan lain seperti diarahkan oleh pasangan itu.

Beliau juga mendakwa defendan ketiga (Abdul Azeez) telah bertindak sebagai ejen kepada Najib dan Rosmah untuk melaksanakan transaksi itu dan bertindak sebagai perantara antara pasangan itu dan plaintif kedua, Carpet Raya.

Melalui transaksi itu, Deepak mendakwa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menghantar surat kepadanya bertarikh 2 Mac 2018 supaya menyelesaikan tunggakan cukai syarikat Carpet Raya dan cukai individu berjumlah RM6 juta, tidak termasuk caj penalti dan faedah.

Deepak mendakwa beliau menerima surat daripada LHDN selepas hubungannya dengan pasangan itu menjadi keruh pada 2012 selepas beliau enggan mengikut arahan mereka dalam kes sivil membabitkan penyiasat persendirian P. Balasubramaniam, dan mendakwa Abdul Azeez tahu mengenai perkara itu.

Plaintif juga mendakwa Najib dan Rosmah turut mengarahkan LHDN mengambil tindakan undang-undang terhadap Carpet Raya dan petisyen penggulungan difailkan terhadap syarikat itu pada 22 Mac, 2017 oleh LHDN dan petisyen itu diterbitkan dalam beberapa akhbar.

Mereka mendakwa akibat daripada petisyen itu, perniagaan dan reputasi semua plaintif terjejas dan Deepak juga dilarang daripada meninggalkan negara ini, manakala kemudahan perniagaan mereka ditarik balik oleh Maybank dan kontrak syarikat itu dengan IKEA dibatalkan.

Mereka memohon perisytiharan mahkamah bahawa Najib dan Rosmah bertanggungjawab membayar tunggakan cukai syarikat itu.

Mereka juga memohon ganti rugi RM500,000 yang dibayar kepada bank, ganti rugi RM47 juta untuk ketidakupayaan syarikat memenuhi kewajipan kontrak dan jualan, ganti rugi RM74 juta untuk pembatalan kontrak syarikat dengan IKEA, RM200 juta atas dakwaan memfitnah, RM37 juta bagi kerugian disebabkan oleh tindakan Najib.

Mereka juga memohon RM100 juta bagi ganti rugi teruk dan teladan.

Lihat Komen
ADS