mk-logo
Berita
ROS gantung sementara MTUC, beri tempoh 30 hari beri penjelasan
Diterbitkan:  Dec 20, 2019 9:32 PM
Dikemaskini: 1:32 PM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) hari ini mengesahkan mereka menggantung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) ekoran siasatan yang dijalankan ke atas organisasi tersebut.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan malam ini, ROS berkata agensi itu menerima aduan mengenai MTUC pada 2 Julai lalu berhubung isu pengurusan yang bermasalah.

Sehubungan itu, kata ROS, mereka membuat kertas siasatan pada 29 Ogos dan menjalankan siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

"Selanjutnya pada 18 Dis ROS mengeluarkan notis mengikut Seksyen 13(2) iaitu kenyataan sebelum pendaftaran dibatalkan.

"Justeru MTUC diberi tempoh selama 30 hari dari tarikh notis itu untuk memberi jawapan balas mengapa pertubuhan berkenaan tidak patut dibatalkan," katanya.

Minggu lalu Setiausaha MTUC Sarawak, Andrew Lo, membuat dakwaan serius menyatakan organisasi itu tidak mengadakan mesyuarat penuh jawatankuasanya sejak pemilihan pada 2016.

"Jawatankuasa Agung ialah badan tertinggi MTUC membabitkan semua kesatuan dan bahagian bersekutu dan mesti mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan," katanya pada 11 Dis lalu.

Tak tahu sebab apa

Sumber lain pula memberitahu Malaysiakini, kepemimpinan MTUC sebenarnya menerima surat tunjuk sebab daripada ROS sekurang-kurangnya dua bulan lalu ekoran kegagalan mereka mengadakan mesyuarat.

Ditubuhkan pada 1949, MTUC menjadi badan pemayung kepada kesatuan sekerja pelbagai sektor dengan keanggotaan seramai kira-kira 500,000 orang.

Menurut ROS, tindakan menggantung MTUC diambil sebagai langkah menjaga kepentingan pertubuhan itu daripada terus melanggar mana-mana peraturan penubuhannya.

Terdahulu Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, mengesahkan penggantungan itu dan berkata pihaknya akan bekerjasama penuh dengan ROS sebaik saja mereka menerima surat mengenainya.

Dia juga mendakwa tidak tahu-menahu mengapa tindakan diambil ke atas MTUC.

"MTUC tidak ada maklumat mengenai apa alasan di sebalik notis penggantungan sementara berkenaan.

"Sementara itu, perkhidmatan MTUC kepada semua pekerja dan sekutunya akan diteruskan seperti biasa," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS