Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bomba temui 244 tong sisa kimia di Kuala Selangor
Diterbitkan:  Dec 20, 2019 9:42 PM
Dikemaskini: 1:42 PM

Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, memantau pencemaran sisa buangan dipercayai bahan kimia di Kampung Tambak Jawa, Kuala Selangor, kira-kira 66km dari Shah Alam hari ini.

Pengarahnya, Norazam Khamis berkata daripada maklumat awam, pihaknya telah memeriksa lokasi kejadian dan menemui 244 buah tong yang dipercayai berisi bahan kimia kira-kira pukul 10 pagi tadi.

"Hasil pemeriksaan bomba, kita menemui sejumlah 244 buah tong yang berisi bahan kimia yang masih belum dikenal pasti berkapasiti 200 liter hingga 210 liter.

"Kita juga mengesan terdapat tumpahan bahan kimia daripada 14 tong itu, bagaimanapun kerja pembersihan sisa kimia itu telah pun dilakukan oleh bomba, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Unit Bencana Selangor," katanya dalam kenyataan di Shah Alam.

Beliau berkata pasukan Hazmat turut membuat pemantauan susulan bagi memastikan lokasi pencemaran selamat dan tidak mengundang bahaya kepada penduduk sekitar.

Katanya, setakat ini lokasi terbabit bebas daripada pencemaran kimia selain kualiti udara berada dalam keadaan normal.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS