Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Farhash: Isu pengganti PM sudah selesai, tak perlu bangkitkan

Setiausaha politik Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menolak tanggapan bahawa terdapat kempen dalam kalangan ahli PKR untuk menggesa presiden parti mereka segera menjadi perdana menteri.

Kata Farhash, beliau tidak faham mengapa Naib Presiden PKR Tian Chua membangkitkan isu peralihan kuasa di antara Anwar dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana menurutnya ia sudah selesai.

“Sebenarnya perkara ini (peralihan kuasa) sudah selesai, saya tak faham kenapa Tian Chua perlu nak bangkit lagi.

“Seolah-olah macam ahli parti yang gesa (Presiden PKR) Anwar Ibrahim jadi PM (perdana menteri) itu fanatik. Benda ini tak benar,” katanya ketika ditemui pemberita di Forum 2020 Ekonomi dan Kepimpinan untuk Wanita dan Anak Muda di Bangsar hari ini.

Tian Chua dalam wawancara bersama Malaysiakini sebelum ini menyatakan kebimbangan tentang "kempen nakal" dalam parti yang menggesa agar Anwar diangkat sebagai perdana menteri.

Tian Chua menyorot bahawa perkara seumpamanya hanya akan melagakan Dr Mahathir dan Anwar serta menegaskan bahawa hanya pemimpin PH yang boleh membuat keputusan tentang pengganti perdana menteri.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil pula menjelaskan bahawa kenyataan yang dilakukan Tian Chua adalah pandangan peribadinya.

Tambahnya, perjanjian antara komponen parti PH juga sudah dibuat dan menetapkan bahawa Anwar adalah perdana menteri seterusnya.

“Perjanjian sudah dibuat ahli PH pada 7 Januari lalu dan Mahathir juga sudah jelaskan bahawa Anwar menteri seterusnya.

“Bukti, rakaman video semua ada menunjukkan perkara itu, saya rasa isu sudah selesai,” katanya yang juga menjadi salah satu panelis dalam forum dijalankan itu.

Forum yang dijalankan selama hampir tiga jam itu membincangkan soal ekonomi yang kini dimonopoli oleh lelaki dan bagaimana penglibatan wanita dalam sektor perniagaan.

Turut hadir menjadi panelis adalah Adun Kampung Tunku Lim Yi Wei dan Adun Bandar Utama Jamaliah Jamal dan Nadira Yusof Timbalan Presiden Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita.

Guna undang-undang untuk nafi tuduhan

Fahmi turut mengulas gesaan Ketua Pemuda Umno Titiwangsa, Nazir Hussin Akhtar Husin, agar pemimpin PH membuat sumpah laknat seperti dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak.

Fahmi yang juga merupakan anggota parlimen Lembah Pantai mengingatkan bahawa terdapat akta berlandaskan hukum kehakiman bagi menyelesaikan sebarang tuduhan terdapat sesiapa sahaja.

“Saya rasa kita kena jadi rasional, tidak boleh harapkan sumpah laknat. Kita ada perkara seperti ujian poligraf untuk tentukan sebarang keputusan.

“Jadi bagi saya kalau terus meminta untuk membuat sumpah laknat, ia seperti abaikan akta kehakiman yang sedia ada,” katanya.

Jelasnya, adalah lebih baik jika digunakan ruang dan mekanisma berdasarkan undang-undang yang sesuai bagi menafikan sebarang pertuduhan.

Lihat Komen
ADS