Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gangguan bekalan air: Loji Semenyih belum operasi akibat pencemaran bau

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih masih belum boleh beroperasi berikutan paras pencemaran bau di Sungai Semenyih berada pada paras tiga ton setakat 6.30 pagi tadi.

LRA itu terpaksa dihenti tugas sepenuhnya bermula Jumaat (20 Dis) ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi kenyataan hari ini, memaklumkan LRA tersebut masih belum dioperasikan sehingga bacaan mencapai paras sifar ton iaitu tiada langsung pencemaran bau.

Kenyataan itu menyebut pihak Indah Water Konsortium dan agensi berkaitan termasuk Lembaga Urus Air Selangor sedang giat menjalankan kerja pembersihan lurang kumbahan (manhole) berhampiran loji rawatan kumbahan (LRK) di mana effluen yang menyebabkan pencemaran bau disedut keluar.

"Sementara kerja-kerja pendosan 'activated carbon' juga telah dilaksanakan bagi mengurangkan kesan pencemaran bau di Sungai Semenyih," menurut kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, kenyataan itu turut memaklumkan LRK Bukit Tampoi yang menerima sumber air mentah dari Sungai Semenyih turut terpaksa dihenti tugas bermula 3.30 petang semalam, mengakibatkan 336,930 akaun di 366 kawasan terjejas.

Kawasan terjejas adalah di daerah Kuala Langat di Kampung Bukit Changgang, Kampung Labohan Dagang, Kampung Olak Lempit, Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Bukit Tampoi, Kampung Selangor Dredging, Kampung Sungai Manggis, Kilang ISF Dengkil, Kompleks Perabot Olak Lempit, Pusat Serenti, RRM Bukit Changgang, Telor Datok, Taman Ambar.

Kawasan lain, antaranya Taman Arked, Taman Changgang Jaya, Taman Seri Dagang, Taman Seri Manggis, Taman Seri Telok Datok dan Taman Topaz.

"Bantuan bekalan air kecemasan terus dipergiatkan dan lori tangki digerakkan ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada pengguna dan premis kritikal serta kecemasan termasuk hospital. Sebelas pusat khidmat setempat dan pili awam masih meneruskan operasinya 24 jam.

"Pihak Air Selangor menjangkakan tempoh masa pemulihan gangguan bekalan ini mengambil sedikit masa," menurut kenyataan itu.

Air Selangor menyatakan pihaknya akan mengeluarkan hebahan dan makluman terkini dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan perlu bagi mengurangkan impak gangguan kepada pengguna.

Orang ramai juga boleh merujuk aplikasi telefon bimbit 'Air Selangor' atau laman sesawang www.airselangor.com bagi mengetahui perkembangan berkaitan insiden itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS