Tempoh khidmat ketua masyarakat kg baru Cina, India di Johor dilanjut - Exco
Tempoh perkhidmatan 121 ketua masyarakat Cina dan sembilan ketua masyarakat India bagi kampung baru di Johor yang akan berakhir hujung bulan ini, akan dilanjutkan sehingga Mac tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata, sehubungan itu pelantikan ketua masyarakat baru bagi sesi 2020/2021 akan bermula pada 1 April.
“Seperti sedia maklum, tempoh perkhidmatan bagi 121 orang ketua masyarakat Cina dan sembilan ketua masyarakat India bagi kampung-kampung baru di negeri ini sedia ada akan tamat pada 31 Disember ini.
"Justeru itu, kerajaan negeri telah mengambil keputusan bahawa tempoh perkhidmatan mereka dilanjutkan sehingga 31 Mac 2020,” katanya menerusi kenyataan, di Johor Bahru hari ini.
Tan dalam masa sama menjelaskan, ketua masyarakat yang tidak berhasrat untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka boleh menulis surat kepada Pegawai Kemajuan Perkampungan (PKP) daerah masing-masing bagi peletakan jawatan mereka.
Menurutnya ia adalah bertujuan untuk membolehkan PKP memaklumkan perkara berkenaan kepada kerajaan negeri.
- Bernama

