DBKL dilapor larang pertandingan pakaian renang
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilapor melarang satu pertandingan pakaian renang, menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Cina.
Pertandingan itu sebahagian daripada segmen Miss Astro Chinese International Pageant 2019 yang sepatutnya disiarkan secara langsung di TV satelit berkenaan.
Seorang eksekutif Astro berkata penganjur hanya menerima surat DBKL yang melarang acara itu sehari sebelum berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.
"Ini adalah satu pertandingan untuk bukan Islam dan ia adalah satu persembahan secara langsung, kami telah mengikuti semua prosedur kerajaan untuk memohon lesen yang diperlukan.
"Larangan secara tiba-tiba ini mengganggu perancangan program asal kami," eksekutif itu dipetik sebagai berkata.
Segmen khas itu kemudiannya diubah dengan pengubahsuaian kepada pemakaian berkenaan.
Laporan itu berkata pertandingan pakaian renang itu merupakan segmen biasa pertandingan ratu cantik antarabangsa dan sebelum ini tidak menghadapi masalah daripada pihak berkuasa.
Ketika dihubungi, pegawai akhbar Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad berkata menteri berkenaan berada di luar negara.
Pegawai itu berkata pejabat Khalid akan mendapatkan penjelasan daripada DBKL esok.
Tindakan DBKL itu dibuat susulan peragaan separuh bogel yang mencetuskan kontroversi ketika Ekspo Tatu Malaysia 2019, yang berlangsung dari 29 Nov hingga 1 Dis lalu.
Peragaaan tatu itu dibuat secara tertutup namun video rakamannya dimuat naik di laman sosial sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai dan kritikan kepada pihak berkuasa.

