Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang kini digantung oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), akan mengadakan mesyuarat khas Majlis Am, pada jam 10 pagi Ahad ini.

Mesyuarat itu dijadual akan diadakan di Wisma MTUC di Subang Jaya.

Menurut notis yang dihantar oleh Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, perkara yang akan menjadi agenda mesyurat itu nanti termasuk peletakan jawatan setiausaha kewangannya sekarang dan pelantikan penggantinya.

Laman web MTUC menyenaraikan Ng Peng Ho sebagai setiausaha kewangannya.

Ng juga ialah setiausaha agung Kesatuan Sekerja Eksekutif Bank CIMB.

Perkara lain yang turut menjadi agenda mesyuarat itu nanti adalah Persidangan Delegasi Triennial MTUC yang diadakan pada setiap tiga tahun dan ia termasuk pemilihan pemegang jawatan dalam MTUC.

ROS pada 20 Disember lalu mengesahkan telah menggantung MTUC ekoran siasatan yang dijalankan ke atas organisasi payung kesatuan sekerja Malaysia itu.

ROS berkata agensi itu menerima aduan mengenai MTUC pada 2 Julai lalu berhubung isu pengurusan yang bermasalah.

Sehubungan itu ROS membuka kertas siasatan pada 29 Ogos dan menjalankan siasatan mengikut Akta Pertubuhan 1966.

Ekoran daripada itu, Kementerian Sumber Manusia menawarkan bantuan bagi menyelesaikan isu penggantungan MTUC.

Presiden MTUC Abdul Halim Mansor (gambar, atas) mengucapkan penghargaan atas kesudian Kementerian Sumber Manusia itu, namun beliau berkata kesatuan itu tidak pernah menerima panggilan daripada Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan tawaran itu hanya dibuat melalui satu kenyataan media.

Semalam, bekas setiausaha agung MTUC, N Gopal Kishnam mendakwa Abdul Halim dan Solomon "menyembunyikan segala-galanya" dari Majlis Am berhubung notis penggantungan daripada ROS.

Abdul Halim berkata beliau berharap semua pemimpin MTUC, sama ada daripada kesatuan atau Majlis Am bersatu untuk menentang notis penggantungan itu.

Solomon berkata, kepimpinan MTUC sekarang tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan mereka lebih telus serta jujur berbanding ketika zaman bekas setiausaha agung itu.

Solomon juga mendakwa perakaunan MTUC tidak benar-benar telus semasa era Gopal.

"Oleh itu, minta beliau untuk diam, atau saya akan dedahkan lebih banyak salah laku beliau semasa beliau menjadi setiausaha agung," kata Solomon kepada Malaysiakini.

[Baca berita asal]