Bekas menteri kewangan II Johari Abdul Ghani membidas A Kadir Jasin susulan kritikan balas wartawan veteran itu terhadap artikelnya tentang masalah ekonomi, yang juga menyentuh mengenai peralihan kuasa antara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Johari turut menjawab dakwaan Kadir yang mengaitkan beliau dalam pemindahan aset di Felda dan FGV Holdings Bhd semasa pentadbiran BN.

Johari berkata Felda telah memfailkan laporan polis berhubung perjanjiannya dengan syarikat Indonesia, Eagle High Plantations (EHP).

"Pada peringkat ini, cukup untuk saya katakan bahawa saya tidak terlibat dengan transaksi itu.

"Seperti yang diketahui oleh semua orang, Felda bukan sebahagian daripada portfolio saya ketika saya berkhidmat sebagai menteri kewangan II selama 21 bulan.

"Saya tidak akan luluskan urusan (dengan EHP) itu jika Felda sebahagian portfolio saya," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam laporan polisnya yang dibuat pada April tahun ini, Felda mendakwa ia terlebih bayar untuk 37 peratus kepentingan dalam EHP.

Pengarah Besar Felda, Othman Omar mendakwa harga itu sengaja dinaikkan hampir 450 peratus kepada RM2.3 bilion apabila ia hanya dinilai RM440 juta pada masa pembelian.

EHP dimiliki oleh pemilik Yayasan Rajawali, Peter Sondakh. Hartawan Indonesia itu dikatakan sebagai sahabat bekas perdana menteri Najib Razak.

Sementara itu, Johari berkata artikelnya, yang diterbitkan di The Edge pada 21 Dis, yang tidak disenangi Kadir adalah berdasarkan pandangan daripada pemegang taruh.

"Artikel saya bertajuk 'What Ails Malaysia?' mengenai faktor yang mungkin membawa kepada ketidaktentuan ekonomi semasa negara, pada dasarnya berdasarkan maklum balas yang saya terima dari pasaran dan pemain industri.

"Malangnya, seorang wartawan berpengalaman terkenal, yang juga penasihat media kepada kerajaan, nampaknya mengambil serius pandangan saya dalam tulisannya," katanya.

Kata Johari, sebagai individu yang menasihatkan perdana menteri tentang media dan komunikasi, Kadir seharusnya "membalas hujah secara intelektual".

Menegaskan bahawa dirinya berhak memberi pendapat, bekas menteri itu juga mengatakan bahawa beliau tidak pernah memandang rendah mana-mana ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Kadir, yang menggambarkan Johari sebagai anggota kabinet ketika "pemerintahan kleptokrasi" Najib, membidas bekas menteri itu kerana mengaitkan prestasi buruk pasaran saham dengan isu peralihan kuasa perdana menteri.

Kadir, yang juga merupakan ahli CEP, menyifatkan pandangan Johari sebagai "menangguk di air keruh.

Sambil menyalahkan Najib atas hutang negara, Kadir dalam tulisan di blognya berkata: "Soalnya siapakah yang menyebabkan kerajaan berhutang dengan begitu banyak kalau bukan bosnya Najib dan dia (Johari) sendiri?"

Dalam artikelnya, Johari berkata bahawa golongan ahli perniagaan keliru sama ada Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kementerian Kewangan atau Jabatan Perdana Menteri yang membuat sesuatu keputusan.

Kadir menyindir dengan berkata Johari mungkin tidak selesa dengan proses konsensus kerana di bawah BN semua kuasa berada di tangan Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Selain Felda, Kadir juga percaya Johari mungkin terlibat dalam penjualan saham Umno dalam Media Prima Bhd dan transaksi lain yang melibatkan UEM Sunrise Berhad dan sebuah hotel mewah di Langkawi.

Mengulas mengenai perkara ini, Johari berkata Kadir memetik hujahnya di luar konteks.

"Saya tidak tahu apa agendanya tetapi apa yang saya tahu dia (Johari) telah memetik hujah saya di luar konteks," katanya.

[Baca berita asal]