Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘India patut malu, rakyat mereka pun enggan pulang’
Diterbitkan:  Dec 24, 2019 11:52 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengkritik keputusan Dewan Rakyat India meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk memberikan kewarganeraan, hanya kepada pelarian bukan Islam.

Sebaliknya, beliau meminta India melihat ke arah negara-negara Islam yang menerima rakyatnya bekerja dan tinggal di situ.

“Sepatutnya juga India menyedari betapa ramainya kaum India diterima menjadi pekerja dan bermaustautin di negara umat Islam, khususnya negara Arab yang paling rapat dengan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, jutaan rakyat India dianggarkan tinggal di negara-negara umat Islam, antaranya di Emiriah Arab Bersatu (kira-kira 2 juta), Arab Saudi (kira-kira 4 juta) dan Qatar (kira-kira 600,000).

Negara Islam juga mendominasi senarai negara sumber kiriman wang ke India, dengan empat negara Islam berada dalam keududkan lima teratas senarai itu, diungguli UAE (Amerika Syarikat di tangga kedua), disusuli Arab Saudi, Qatar dan Kuwait.

India bulan ini meluluskan RUU yang bakal memudah dan mempercepatkan proses memberi kerakyatan kepada pendatang asing di negara terbabit, kecuali kepada pendatang beragama Islam.

Hal itu telah menyebabkan tercetusnya protes di kalangan rakyat yang membantah RUU tersebut sehingga menyebabkan korban nyawa.

Undang-undang itu dikatakan bertujuan memberikan kewarganegaan kepada pelarian bukan Islam dari Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan jika mereka didapati melarikan diri daripada penganiayaan agama serta tiba di India sebelum 2015.

Pengkritik menyifatkan rang undang-undang berkenaan sebagai pilih kasih terhadap mereka yang beragama Islam serta sebagai langkah awal terhadap pelan kerajaan nasionalis Hindu melaksanakan Pendaftaran Kewarganegaraan Kebangsaan (NRC) yang mensyaratkan rakyat membuktikan kewarganegaraan mereka.

Mengambil contoh di Malaysia sendiri, Abdul Hadi turut mengulangi hujah Dr Mahathir Mohamad bahawa negara ini menerima pendatang India semasa zaman penjajahan dan memberikan kewarganeraan kepada mereka.

“Sepatutnya India terasa malu kepada Malaysia khususnya yang telah menerima pendatang India yang dibawa oleh penjajah menjadi warganegara Malaysia yang tidak lagi mahu pulang ke India,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS