Presiden MIC, parti, Datuk Seri S. Samy Vellu telah merestui pencalonan Ketua Wanita MIC Selangor, P. Komala Devi untuk bertanding merebut jawatan Ketua Wanita MIC.

Berikutan itu, semalam, Komala mengumumkan hasrat beliau untuk bertanding bagi jawatan tersebut dalam pemilihan parti yang dijadualkan pada 4 Jun ini. Penyandang jawatan tersebut ialah Datin Paduka Jaya Partiban

Ahli ekonomi dan graduan perundangan berusia 52 tahun itu berkata, keputusannya itu mendapat restu presiden parti, dan juga didorong oleh sokongan luar biasa dari ketua wanita MIC di kebanyakan negeri.

Menurut laporan Bernama, Komala juga merupakan Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran dan ahli Parlimen Kapar selama dua penggal

"Kira-kira 70 peratus bahagian sudah menyuarakan sokongan mereka kepada saya dan saya juga sudah bercakap dengan Presiden serta Pengerusi MIC Selangor mengenainya. Mereka faham sebab saya berbuat demikian," katanya dalam persidangan akhbar di ibu pejabat MIC bahagian Hulu Langat.

Rebut peluang

Menurutnya, beliau ingin bertanding supaya pergerakan wanita kekal relevan, selaras dengan Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK-9), dengan menjadi lebih terurus bagi menghadapi cabaran dan peluang pada masa hadapan.

"Di bawah RMK-9, kita perolehi rancangan baru untuk masyarakat India dan saya berhasrat untuk melihat keadaan kita lebih terurus di samping berpeluang menikmati faedah yang ditawarkan, yang tersedia dalam bidang pendidikan, kesihatan, ekonomi dan perkhidmatan sosial," katanya.

Ditanya sama ada Jaya sudah dimaklumkan tentang hasratnya itu, Komala berkata penyandang jawatan itu seharusnya sedar mengenai hasrat tersebut, kerana menurutnya Jaya mempunyai akses kepada banyak maklumat.

"Saya tidak dapat berkompromi tentang nilai dan prinsip saya. Saya bersedia menanggung risiko kerana saya mengambil berat tentang pergerakan wanita, saya bimbangkan tentang hala tujunya. Saya ingin mengambil peluang untuk merebut jawatan itu, kerana saya ada beberapa idea dan sokongan," katanya.