Kerajaan disaran agar segera menggubal undang-undang dan peraturan yang lebih jelas untuk mengharamkan sebarang gerakan yang membawa ideologi komunisme, kata Presiden Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa) Tan Sri Mohd Ismail Che Rus.

Ia dianggap penting berikutan terdapat tindakan pihak tertentu yang cuba memberi persepktif baharu terhadap matlamat perjuangan komunis dan mereka yang didapati bersalah harus dihukum dengan setimpal, katanya.

Tindakan pihak tertentu yang cuba menghidupkan semula ideologi itu menyentuh dan menghiris hati angggota pasukan keselamatan yang telah berjuang dan terkorban mempertahankan kedaulatan negara, menurutnya lagi.

"Kami sebagai pejuang negara berharap agar isu komunisme ini akan dapat digalas dengan bijak dan saksama oleh kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri.

"Usaha gigih hendaklah diambil segera oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Dalam Negeri untuk merangka penerangan jelas mengenai sejarah kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) dan ideologi komunisme supaya generasi muda tidak mudah terpengaruh dan terpedaya dengan gejala ini, " katanya.

Mohd Ismail berkata demikian mewakili 11 persatuan bekas polis yang hadir pada perhimpunan Pejuang Negara Menentang Ideologi Komunis di Padang Merbok, di Kuala Lumpur.

Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 3,000 pesara polis seluruh negara itu bagi menzahirkan bantahan mereka terhadap kebangkitan semula ideologi komunis di negara ini.

Turut hadir bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohammed Hanif Omar dan Tan Sri Musa Hassan, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan dan bekas pegawai dan anggota kanan PDRM.

Sementara itu, Mohammed Hanif berkata cubaan pihak tertentu mewujudkan kembali ideologi PKM di negara ini dianggap sebagai melanggar Perjanjian Hatyai 1989.

Beliau yang turut menjadi sebahagian wakil rundingan perjanjian itu berkata, perjanjian yang dibuat kerajaan di Hatyai, Thailand pada 2 Dis 1989 itu jelas menyatakan bekas ahli PKM tidak lagi dibenarkan menyebar atau cuba menghidupkan ideologi komunis di negara ini.

"Dalam perjanjian itu sudah tertulis, tidak boleh sebar fahaman komunis dan jika dilakukan, ia telah melanggar perjanjian.

"Mereka boleh dikenakan mengikut undang-undang negara dan ketika zaman saya, mereka ini boleh dikenakan di bawah ISA," katanya. 

- Bernama