Polis berjaya menumpaskan sindiket menyeludup dan menjual senjata daripada stor Tentera Laut Diraja Malaysia, berikkutan penangkapan 32 orang, termasuk 15 anggota tentera, demikian menurut satu laporan hari ini.

Pembeli senjata tersebut, yang melarikan diri ke China kerana diburu pihak polis dan tentera laut, telah ditangkap dan dihantar pulang, menurut laporan akhbar the Star, yang memetik sumber-sumber.

Menurut laporan tersebut, semua tangkapan tersebut dilakukan dalam tempoh tiga bulan yang lalu.

Jual pada orang awam

Pihak polis dan tentera laut menemui semula hampir kesemua senjatapi, peluru dan bahan letupan yang diseludup keluar dari stor tentera di Perak sejak beberapa tahun yang lalu dan dijual kepada orang awam, lapor akhbar berkenaan.

Sumber-sumber memberitahu akhbar the Star, bahawa senjata tersebut diambil daripada simpanan yang hendak dimusnahkan. Antara yang dicuri ialah beberapa pucuk Steyr dan bom tangan.

Akhbar itu juga memetik Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Musa Hassan mengesahkan tangkapan tersebut dibuat dan penemuan semula senjata berkenaan.

"Siasatan kini hampir selesai," katanya dalam laporan tersebut.

- AFP