Malaysiakini
BERITA

Kadar baru tarif pos mampu selamatkan Pos Malaysia

Haspaizi Zain

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Dis 2019, 1:03 pagi

ULASAN | Baru-baru ini Bernama ada melaporkan tentang keputusan kerajaan yang secara tidak langsung telah pun bersetuju untuk menaikkan kadar tarif pos yang baru bagi Pos Malaysia Bhd.

Ia satu keputusan baik yang dialu-alukan oleh Pos Malaysia selepas sekian lama memperjuangkan kenaikan kadar tarif demi kelangsungan syarikat itu.

Keputusan itu penting bagi memastikan Pos Malaysia terus kekal relevan dan mampu bersaing dalam revolusi industri digital yang sedang meledak ketika ini.

Artikel Bernama yang memetik sumber itu berkata, bagaimanapun Pos Malaysia sehingga kini masih belum menerima butiran rasmi mengenai kadar tarif pos yang baru dan tarikh pelaksanaannya.

Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan pos itu telah menerima surat pengesahan mengenai kelulusan kenaikan tarif berkenaan.

Kelulusan itu pastinya satu kelegaan selepas sekian lama menantikan kenaikan kadar tarif baru bagi membolehkannya terus kekal kompetitif dalam menawarkan perkhidmatkan kepada rakyat dalam suasana ekonomi yang cukup mencabar.

Sekalung penghargaan pastinya buat kerajaan dan Menteri Komunikasi dan Mulltimedia Gobind Singh Deo kerana telah mendengar suara Pos Malaysia yang menuntut perubahan kadar tarif pos seperti turut berlaku di negara luar.

Ia bukan soal Pos Malaysia semata-mata, sebaliknya nasib ribuan pekerjanya yang bernaung di bawah syarikat ketika mana perniagaan berasaskan mel tradisional bukan lagi keutamaan, namun permintaan terhadapnya masih tinggi.

Kenaikan kadar tarif itu dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pensturukturan semula syarikat tanpa perlu "mengorbankan" masa depan pekerjanya.

Ledakan teknologi digital menyaksikan Utusan Melayu yang telah wujud berabad lamanya akhirnya terpaksa ditutup, begitu juga syarikat penerbitan NSTP terpaksa mengecilkan operasinya yang menyaksikan lebih 500 pekerjanya terjejas.

Langkah baik dan tepat yang telah diambil kerajaan itu bagaimanapun menimbulkan sedikit tanda tanya. Jika benar tarif baru telah diluluskan kerajaan, tetapi mengapa tiada butiran lanjut mengenainya?

Begitu juga dengan tarikh pelaksanaannya yang masih menjadi tanda tanya. Berdasarkan laporan, Pos Malaysia dijangka membuat pengumuman berkenaan perubahan kadar itu tidak lama lagi, tetapi bila?

Pos Malaysia kini berdepan dengan 'kecederaan yang parah' dan ia memerlukan 'rawatan' segera untuk memastikan syarikat itu kembali stabil.

Untuk rekod berdasarkan laporan, pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2019, Pos Malaysia Bhd mencatat kerugian bersih RM141.13 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya mencatat keuntungan bersih RM29.03 juta.

Oleh itu sewajarnya pihak yang terbabit khususnya kerajaan segera meluluskan pelaksanaan kadar tarif baru secepat mungkin.

Pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepatutnya memainkan peranan penting dalam memperjuangkan isu berkenaan.

Ia selaras dengan penubuhan jawatankuasa khasa pada Mac tahun ini oleh SKMM yang bertujuan memperkasa industri pos dan kurier di negara ini.

Perjuangan ini bukan saja untuk kelangsungan Pos Malaysia Bhd, namun lebih daripada itu nasib ribuan pekerjaannya supaya mereka bukan saja tidak terjejas, tetapi juga dapat menikmati kadar gaji yang lebih praktikal dengan situasi ekonomi negara.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.