Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS sedia bincang isu Jawi dengan Dong Zong, MCA
Diterbitkan:  Dec 26, 2019 12:11 PM
Dikemaskini: 4:11 AM

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berkata partinya sedia berdialog dengan semua pihak termasuk Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan MCA dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan awam.

"PAS sebagai sebuah wadah politik yang ditubuhkan hampir 70 tahun yang lalu sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarangan perbincangan dan dialog dengan mana-mana pihak dalam semua perkara yang berkepentingan awam, termasuk dengan MCA dan Dong Jiao Zong," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Takiyuddin juga berkata PAS bukan setakat memperjuangkan hak umat Islam tetapi juga bertanggungjawab melaksanakan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Bagi mencapai hasrat tersebut, jelas Takiyuddin, "Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada awal Disember 2019 yang lalu telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Mahabbah PAS – MCA dipengerusikan oleh Naib Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu."

"Jawatankuasa ini dianggotai oleh sebilangan pimpinan kanan PAS yang mempunyai latar belakang yang pelbagai, termasuk para profesional selain agamawan," katanya lagi.

Beliau turut berkata PAS bersedia menyertai dialog dengan Dong Zong (persatuan guru sekolah Cina) dan Dong Jiao Zong (gabungan persatuan guru dan pengurus sekolah Cina) bagi menyelesaikan isu tulisan Jawi.

"PAS turut menyambut baik kesediaan pihak Dong Zong dan Dong Jiao Zong untuk mengadakan dialog dengan semua pihak bagi menyelesaikan isu bantahan tulisan Jawi.

"PAS turut bersedia menyertai dialog tersebut dan yakin kaedah berdialog akan memurnikan segala isu berbangkit, menghilangkan prejudis dan syak wasangka yang akhirkan akan mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini," kata Takiyuddin.

Walaupun terdapat NGO Melayu, seperti Perkid yang membuat laporan polis terhadap Dong Zong, menggesa pihak berkuasa menghentikan kongres wakil pertubuhan Cina yang dirancang, manakala kumpulan lain menggesa gabungan persatuan guru sekolah Cina itu diharamkan, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyeru semua pihak berdialog di meja rundingan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Agama Islam, Dr Mujahid Yusof menggesa penganjuran Kongres Organisasi Cina anjuran Dong Jiao Zong, antara lain untuk membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular, agar ditangguhkan.

Mujahid berkata, ia bagi memberi ruang kepada pendekatan "lebih berhikmah" seperti rundingan dan dialog berkenaan isu berkenaan.

Lihat Komen
ADS