Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC fail rayuan tolak permohonan lucut hak Umno Kedah, Habib Jewels

Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang menolak permohonan pihak pendakwaan bagi melucut hak ke atas wang berjumlah RM1.15 juta daripada Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah (Umno Kedah) dan Habib Jewels Sdn Bhd.

Wang berkenaan dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lepas, yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Rashid Sulaiman memberitahu pemberita notis rayuan tersebut difailkan oleh Jabatan Peguam Negara di Mahkamah Rayuan pada 16 Dis lalu.

"Pihak pendakwaan juga telah membuat permohonan bagi menangguhkan pelaksanaan perintah untuk memulangkan harta tersebut (wang RM1.15 juta), kepada pihak responden iaitu Umno Kedah dan Habib Jewels pada 20 Dis lalu," katanya selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som hari ini.

Umno Kedah dan Habib Jewels masing-masing didakwa menerima wang terbabit, daripada bekas perdana menteri Najib Abdul Razak berjumlah RM1.05 juta dan RM100,000.

Abdul Rashid berkata pada prosiding hari ini, mahkamah turut memerintahkan pihak Umno Kedah untuk memfailkan afidavit balasan, berhubung penangguhan pelaksanaan perintah untuk memulangkan harta selewat-lewatnya pada 7 Jan depan, manakala Habib Jewels perlu memfailkan afidavit balasan pada atau sebelum 14 Jan.

Katanya, mahkamah menetapkan 7 Jan depan untuk pengurusan kes bagi Umno Kedah dan 5 Feb untuk pengurusan kes Habib Jewels.

Peguam R. Hanita mewakili Umno Kedah dan peguam Gooi Yong Shuh bertindak bagi pihak Habib Jewels.

Pada 13 Dis lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak ke atas wang berjumlah RM1.05 juta daripada Umno Kedah dan RM100,000 daripada Habib Jewels.

Dalam sidang akhbar sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata beliau telah memfailkan permohonan pelucutan hak terhadap 41 responden, untuk mendapatkan kembali RM270 juta dana berkaitan 1MDB.

Latheefa berkata langkah ini adalah mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA), yang SPRM percaya wang ini telah dipindahkan daripada akaun Najib.

- Bernama

Lihat Komen
ADS