Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Enam murid masalah penglihatan rasai sendiri gerhana matahari

Walaupun mempunyai masalah penglihatan, enam murid Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Jalan Batu, Kuala Lumpur tetap mahu merasai sendiri fenomena Gerhana Matahari Anulus di Taman Negara Johor Tanjung Piai, dekat Pontian hari ini.

Meskipun tidak dapat melihat, mereka masih dapat merasai fenomena berkenaan dengan dibantu alat bantuan mengajar serta peranti bunyi cahaya, ciptaan Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan dibangunkan semula oleh Apadilangit, sebuah badan bukan kerajaan.

Menurut salah seorang guru pengiring, Amer Ikhwanuddin Sharifuddin, kesemua murid berkenaan dibekalkan dengan buku bertajuk "Lingkaran Cincin Berapi" dengan tulisan Braille dan alat mengesan kekuatan cahaya untuk membantu mereka.

Menerusi peranti bunyi cahaya pula, murid-murid itu dapat menghayati Gerhana Matahari Anulus itu dengan mendengar frekuensi bunyi yang berbeza mengikut kecerahan langit sambil membaca buku Braille khas yang disediakan.

"Tiga murid perempuan mengalami masalah penglihatan kategori B2 iaitu penglihatan terhad manakala tiga murid lelaki mengalami masalah penglihatan kategori B1 iaitu tidak dapat melihat langsung. Kami harap dengan cara ini mereka dapat memahami dengan lebih mendalam mengenai gerhana matahari," katanya.

Murid berkenaan ialah Mohd Zahiruddin Mohd Zaidi, 11; Mohd Darwisy Afiq Mohd Zahari, 10; Kong Meng Fatt, 12; Piong Sweet Ron, 12; Nurul Insyirah Saiful, 10; dan Nur Alisha Qairina Mohd Radzlan, 11.

Turut mengiringi enam murid itu adalah Guru Besar Norzinah A Latiff dan dua lagi guru iaitu Muhammad Ikhwan Fahmi Zani dan Rosniza Shahrin.

Gerhana matahari itu dilihat di Tanjung Piai pada pukul 1.21 tengah hari tadi, berlangsung selama kira-kira dua minit.

Selain Tanjung Piai, fenomena astronomi itu turut dapat disaksikan di Serian, Sarawak dalam tempoh kira-kira empat minit bermula 1.46 tengah hari.

Kali terakhir ia dilihat di Malaysia ialah pada 22 Ogos 1998 di Mersing.

-Bernama

Lihat Komen
ADS