Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Jawi: MCA belum putuskan cadangan dialog dengan PAS
Diterbitkan:  Dec 27, 2019 9:50 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

MCA belum membuat keputusan berhubung kesediaan PAS untuk berjumpa dan berdialog dengan parti itu mengenai isu tulisan Jawi, kata Setiausaha Agungnya Chong Sin Woon.

Bagaimanapun katanya, perkara itu akan dibawa kepada perhatian pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat.

"MCA mengambil maklum kenyataan media oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hasan yang telah menyatakan kesediaan PAS berjumpa dan berbincang dengan MCA.

"Kami belum lagi membuat keputusan berkenaan dengan perkara ini. Walau bagaimanapun, perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden pada masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Takiyuddin berkata partinya sedia berdialog dengan semua pihak termasuk Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan MCA dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan awam.

"PAS sebagai sebuah wadah politik yang ditubuhkan hampir 70 tahun yang lalu sentiasa terbuka untuk mengadakan sebarangan perbincangan dan dialog dengan mana-mana pihak dalam semua perkara yang berkepentingan awam, termasuk dengan MCA dan Dong Jiao Zong," katanya dalam suatu kenyataan.

Takiyuddin (gambar, bawah) juga berkata PAS bukan setakat memperjuangkan hak umat Islam tetapi juga bertanggungjawab melaksanakan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Bagi mencapai hasrat tersebut, jelas Takiyuddin, "Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada awal Disember 2019 yang lalu telah bersetuju menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dinamakan Jawatankuasa Mahabbah PAS – MCA dipengerusikan oleh Naib Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga menteri besar Terengganu."

"Jawatankuasa ini dianggotai oleh sebilangan pimpinan kanan PAS yang mempunyai latar belakang yang pelbagai, termasuk para profesional selain agamawan," katanya lagi.

Sementara itu, Chong berkata MCA sentiasa mengambil pendirian terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak berkaitan isu keharmonian, pendidikan, sosial dan sebagainya yang melibatkan kepentingan rakyat.

Katanya, MCA juga mengalu-alukan dialog turut diadakan isu tulisan Jawi di Sekopah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK) kerana ia melibatkan isu sensitif dalam sebuah masyarakat yang berbilang kaum.

"Kesediaan PAS untuk bertemu dan berdialog dengan MCA dan juga Dong Zong selari dengan pendirian MCA bahawa segala perselisihan faham boleh diselesaikan menerusi perbincangan yang matang dan telus.

"Lebih-lebih lagi pada masa ini di mana negara kita sedang menghadapi pelbagai cabaran, khususnya dari segi ketegangan kaum dan agama," jelasnya.

Lihat Komen
ADS