Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Jalan Ampang di Kuala Lumpur hari ini menjadi tapak himpunan dua kumpulan Islam berbeza kutub dalam satu protes besar-besaran yang diadakan sebagai solidariti terhadap penindasan kaum Uyghur, iaitu penduduk minoriti Muslim di China.

Kumpulan yang dilihat lebih moderat - terdiri dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan beberapa NGO lain - serta kumpulan yang dilihat lebih keras - Hizbut Tahrir, berhimpun bagi menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Besar China di Malaysia.

Kedua-dua kumpulan itu pada mulanya memulakan perhimpunan masing-masing di tempat berbeza.

Abim bersama beberapa NGO lain berkumpul di Masjid Ibnu Mas’ud sebelum berjalan kaki meredah panas terik menuju ke lokasi perhimpunan di tepi sebuah pasar raya, berdekatan dengan Kedutaan Besar China.

Kumpulan yang seramai kira-kira 30 orang itu berkumpul sambil melaungkan “Hidup Uyghur”, “Faham isu Uyghur”, “Kita Uyghur” sambil membawa bendera Malaysia, kain rentang dan plakad.

Kibaran panji tauhid hitam

Kira-kira 10 minit kemudian, segerombolan ratusan peserta kumpulan Hizbut Tahrir meredah jalan utama dari Masjid Tabung Haji menuju lokasi sama, menenggelamkan kumpulan awal dengan peserta yang jauh lebih ramai.

Mereka melaungkan “Hancur komunis!”, “Tegak khilafah!”, “Hidup Islam”, dan “Khilafah janji Allah”, sambil mengibarkan panji tauhid berwarna hitam, yang sinonim dengan Hizbut Tahrir.

Kira-kira 40 orang anggota keselamatan turut kelihatan mengawal keadaan di sekitar Jalan Ampang sepanjang perhimpunan berlangsung.

Perhimpunan turut diselitkan dengan ucapan oleh wakil NGO, antaranya oleh Setiausaha Agung Abim, Muhammad Fazril Salleh; Presiden PKPIM Ahmad Farhan Rosli; jurucakap Hizbut Tahrir, Abdul Hakim Othman, dan beberapa wakil NGO lain.

Turut kelihatan peserta membawa patung beruang panda yang dipegang bersama bunga raya, sebagai simbol keamaan.

Pada jam 2.44 petang, Presiden Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz bersama Farhan dan Abdul Hakim bergerak ke bangunan Kedutaan Besar China bagi diiringi polis bagi menyerahkan memorandum.

Petugas media yang ingin turut serta ditegah keras oleh pihak polis bertugas daripada turut serta, dan hanya dibenarkan berdiri melihat dari jauh, kira-kira 100 meter dari pagar bangunan.

Bagaimanapun penyerahan memorandum itu tidak menjadi kenyataan apabila tiada wakil dari kedutaan yang turun untuk menerimanya.

Semakin buruk

Mereka kemudiannya hanya meletakkan memorandum itu dalam peti surat bangunan kedutaan, sebelum kembali menyertai perhimpunan.

Menurut Faisal, mereka berhimpun atas nama keamanan, agar kerajaan China menghentikan penindasan yang dikenakan terhadap orang Uyghur.

Katanya, setelah berpuluh tahun komuniti antarabangsa membangkitkan isu tersebut, masih tiada komitmen ditunjukkan oleh kerajaan China untuk menghentikan penganiayaan hak asasi manusia terutamanya kepada orang Uyghur.

Tambahnya, keadaan semakin buruk apabila pada 2017, kerajaan China meluluskan undang-undang zalim yang tidak membenarkan orang Islam di Xinjiang mengenakan tudung kepala, menyimpan janggut, dan mempromosikan makanan halal.

“Fikiran kami waras untuk tahu apa yang terjadi di Xinjiang. Jangan layan kami sebagai orang bodoh. Kami tahu apa terjadi, kami baca undang-undang …

“Kerana inilah sebabnya tekanan antarabangsa ke atas China perlu terus dilakukan dan ia tidak akan dihentikan oleh apa juga propaganda yang dibuat oleh kerajaan China,” katanya dalam sidang media selepas cubaan untuk menyerahkan memorandum tidak berjaya.

Faisal turut menegaskan bahawa himpunan oleh kedua-dua kumpulan yang diketuai Abim dan Hizbut Tahrir, dianjurkan secara berasingan dan bersatu hanya secara kebetulan.

Isu etnik Uyghur menarik perhatian ramai - termasuk dalam kalangan bukan Islam - selepas satu demi satu bukti menunjukkan mereka ditempatkan dalam tahanan kerajaan.

Pakar-pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis berkata sekurang-kurangnya 1 juta Uighur dan kumpulan minoriti beragama Islam lain ditahan di "kem-kem" di Xinjiang sejak 2017.

Jihad ke atas China

Beijing menafikan sebarang penganiayaan terhadap Uighur dan minoriti lain di Xinjiang, mengatakan ia hanya menyediakan “latihan vokasional” untuk membasmi militan dan mengajar kemahiran baru.

Isu penindasan kaum Uyghur sememangnya sentiasa mendapat perhatian NGO Islam di negara ini, namun ia semakin memuncak baru-baru ini apabila bintang bola sepak Arsenal, Mesut Ozil mengangkat etnik Uyghur sebagai pahlawan di Twitternya dan menyelar sikap bisu umat Islam ke atas penindasan itu.

Abdul Hakim, ketika memberikan ucapannya di perhimpunan itu, mengingatkan kerajaan China agar berbuat baik dengan kaum Muslim di China jika mahu layanan sama diberikan selepas sistem khilafah tertegak kelak.

“Sekiranya mereka tak menghentikan kekejaman yang mereka lakukan ke atas Muslim Uyghur, isnya-Allah, apabila tertegaknya khilafah nanti, khalifah akan mengumumkan jihad ke China untuk membebaskan saudara-saudara kita yang ditindas di bumi China!” tegasnya.

Beliau turut menggesa kerajaan Malaysia memberi amaran keras kepada China, memutuskan sebarang hubungan luar termasuk hubungan diplomasi dan hubungan dagang dengan China, menutup kedutaannya di Kuala Lumpur dan menghalau keluar dutanya, dan memanggil balik duta Malaysia ke China.

Sekiranya tidak berjaya, kata Abdul Hakim, Malaysia hendaklah “menghantar amaran ketenteraan” dan sekiranya masih tidak berjaya, maka katanya, satu-satunya solusi adalah melalui “jihad fi sabilillah”.

Perhimpunan itu diakhiri dengan bacaan dua, juga secara berasingan oleh kedua-dua kumpulan. Pasukan diketuai Abim membaca doa penutup pada jam 3.15 petang, manakal kumpulan Hisbut Tahrir melakukannya lima minit kemudian.

Perhimpunan bersurai kira-kira jam 3.30 petang.

Dalam responsnya terhadap himpunan itu, Kedutaan China di Malaysia menegaskan isu Xinjiang adalah hal ehwal dalaman negara itu.

"Ia bukan isu hak asasi, etnik atau agama, tetapi isu anti-terorisme, antipemisahan dan deradikaliasi. Kerajaan China menjaga kebebasan agama semua warga, termasuk minoriti Uyghur, berdasarkan undang-undang," kata jurucakapnya Tang Tang dalam kenyataan.

Menyifatkan "orang ramai dibutakan oleh berita palsu, beliau berkata rakyat Malaysia, terutama beragama Islam, boleh berkunjung ke Xinjiang untuk melihat sendiri wilayah yang disifatkannya sebagai aman dan makmur.

"Saya harap anda boleh membezakan kebenaran dengan kepalsuan, dan tidak percaya kepada khabar angin atau ditipu," katanya lagi.

Antara isu yang banyak dilaporkan media tentang konflik di Xinjiang adalah berkenaan pusat tahanan atau "kem pendidikan semula" di mana sejumlah sekurang-kurangnya sejuta orang Uighur dilaporkan ditahan.

Lihat Komen
ADS