Penganggur didakwa takutkan ibu guna pisau, gunting
Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan menakutkan secara jenayah dengan mengacukan pisau dan gunting terhadap ibu kandungnya, Jumaat lepas.
Darulaman Jamaludin, 20, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap Suhaida Abu Bakar, 43, di Taman Paya Rumput Permai di Melaka, pada 11.30 malam, 20 Dis lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan itu dikurangkan kerana dia tidak bekerja.
Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bersama syarat tambahan iaitu Darulaman tidak dibenar kacau ganggu mangsa.
Mahkamah menetapkan 3 Feb tahun depan untuk sebutan semula kes.
-Bernama

