Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MCA, Pemuda DAP pertikai arahan pembatalan kongres Jawi Dong Jiao Zong
Diterbitkan:  Dec 27, 2019 8:27 PM
Dikemaskini: 12:45 PM

MCA menyuarakan bantahannya terhadap pembatalan kongres anjuran Dong Jiao Zong berhubung tulisan Jawi yang dijadual berlangsung esok.

Menyifatkannya sbagai diskriminasi, setiausaha agungnya Chong Sin Woon membangkitkan penganjuran Kongres Maruah Melayu pada Oktober lalu yang dibenarkan berlangsung.

"Kerajaan boleh anjurkan Kongres Maruah Melayu, pertubuhan Cina tak boleh anjur pertemuan tertutup?

"Adakah Cina tak ada hak berhimpun?" soalnya dalam hantaran Facebook.

Hantaran itu diiringi tanda pagar peribahasa Cina yang membawa maksud menyekat pemikiran manusia lebih berbahaya berbanding menyekat arus sungai.

Polis hari ini mendapat perintah mahkamah untuk membatalkan penganjuran kongres itu, yang diserahkan kepada Dong Zong petang tadi.

Menurut dokumen yang dilihat Malaysiakini, perintah mahkamah dikeluarkan kerana mendapati program itu berisiko mencetuskan ketegangan.

"Oleh yang demikian, kehadiran kamu di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang pada 28 Disember 2019 (Sabtu) adalah dengan ini dilarang, dan kamu diberi amaran agar tidak berada atau berkumpul atau mengambil apa-apa bahagian dalam persidangan itu," menurut dokumen itu.

Dong Zong berkata pihaknya menghormati perintah mahkamah itu dan akan membatalkan program tersebut.

Sementara itu, ketua pemuda DAP Howard Lee berkata langkah polis mendapatkan perintah mahkamah itu sebagai bercanggah dengan hak perlembagaan rakyat Malaysia, berhubung kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman.

Katanya, langkah polis itu adalah satu reaksi berlebihan dan menetapkan duluan yang tidak baik untuk "Malaysia baru".

"Polis patut melindungi hak Dong Zong berhimpun secara aman, seperti mana penganjur Kongres Maruah Melayu dilindungi. Hak untuk berbeza pendapat di kalangan warga adalah tulang belakang demokrasi," katanya dalam kenyataan.

Lihat Komen
ADS