Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas Dong Zong batal kongres, NGO Melayu sedia berdepan 'kumpulan liberal'
Diterbitkan:  Dec 28, 2019 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Gabungan NGO Melayu-Islam memberi amaran terhadap "kumpulan liberal" agar tidak meneruskan perjumpaan mereka di Petaling Jaya esok bagi menentang pelaksanaan pelajaran jawi dalam sukatan buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat.

Perhimpunan esok diketuai oleh Pasukan Tindakan Seni Khat (Sekat), yang seperti Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Dong Zong menentang pelaksanaan tiga muka surat pelajaran jawi.

Gabungan NGO yang diwakili oleh Timbalan Presiden Ummah, Mohd Zai Mustafa, berkata pihaknya juga akan menganjurkan himpunan balas jika Dong Zong tidak membatalkan bantahan mereka terhadap pelajaran jawi, meskipun kumpulan pendidikan Cina itu sudah membatalkan kongres mereka.

Kongres kumpulan pendidikan Cina untuk membantah pengenalan tulisan Jawi di Kajang itu dibatalkan selepas polis mendapat injunksi mahkamah atas sebab ia dibimbangi mencetuskan kekacauan.

"Jika Dong Zong berterusan dengan usaha dan tindakannya untuk membantah jawi, kita akan mengadakan perhimpunan besar dan, berdasarkan suasana sekarang, ia akan lebih besar daripada himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD)," katanya pada sidang media berhampiran ibu pejabat Dong Zong di Kajang petang ini.

Semasa perhimpunan anti-Icerd pada Disember tahun lepas, penganjur menganggarkan jumlah peserta sebanyak 500,000 orang manakala polis meletakkan anggaran 55,000 peserta.

Majistret Kajang, Syahrul Sazly Mohd Sain memberi injunksi menghalang kongres Dong Zong berdasarkan maklumat daripada polis yang mendapati kemungkinan berlaku rusuhan sekiranya ia diteruskan.

Gabungan NGO Melayu yang diwakili oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) itu juga membatalkan perhimpunan balas mereka hari ini selepas Dong Zong memutuskan mematuhi injunksi mahkamah untuk tidak mengadakan kongres.

Bagaimanapun, sekumpulan kecil anggota NGO Melayu mengadakan sudang media di luar ibu pejabat Dong Zong.

Polis, yang memantau kawasan itu, mengarahkan pemimpin NGO Melayu supaya bersurai. Mereka kemudian berpindah ke kawasan lain berhampiran untuk mengadakan sidang akhbar mereka.

Sementara itu, Mohd Zai mendedahkan bahawa pihaknya, yang menurutnya terdiri daripada lebih 100 NGO, telah mengadakan mesyuarat semalam dan memutuskan bahawa bekas ketua polis negara petang ini bagi memutuskan langkah seterusnya agar isu sensitif sebegitu tidak lagi disuarakan selepas ini.

“Petang ini kita akan mengada satu lagi mesyuarat bagi membuat keputusan apakah langkah seterusnya yang perlu diambil untuk memastikan Dong Zong dan pihak lain jangan cuba lagi menaikkan isu sensitif kerana isu ini yang mengajak rakyat menentang undang-undang di negara kita," katanya.

Mohd Zai berkata, pihaknya juga sudah membuat keputusan bahawa bekas Ketua Polis Negara, Haniff Omar akan mengetuai himpunan berkenaan.

“Dalam sidang perbincangan yang dianjurkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) semalam kita sudah bersetuju bahawa Tun Haniff Omar akan mengetuai gerakan rakyat.

“Kita juga sudah membuat kerjasama bersama dengan NGO lain bagi meneruskan bantahan terhadap tindakan Dong Zong sekiranya mereka terus membantah tulisan jawi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Semangat Gelombang Rakyat Malaysia, Ellie Suriati Omar berkata beliau akan turut mengambil bahagian dalam perhimpunan yang dirancang esok.

"Esok, NGO liberal akan menganjurkan bantahan mereka terhadap Jawi di Crystal Crown Hotel di Petaling Jaya.

"Jadi apa yang salah bagi kita untuk bertindak balas dengan bantahan kita terhadap bantahan kumpulan liberal," katanya.

Pembatalan kongres Dong Jiao Zong berkenaan tulisan Jawi tidak menghalang satu lagi kongres berkenaan perkara itu daripada berlangsung seperti biasa.

Setiausaha Sekat, Arun Doraisamy berkata pihak polis telah maklum dengan program itu yang akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, esok.

Arun berkata pihaknya juga telah menjemput Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk hadir ke program itu yang dinamakan Kongres Jawi Kebangsaan bagi menyampaikan ucapan penutup.

Lihat Komen
ADS