Dewan kecoh lagi bila 16 ahli Parlimen pakai Bow-tie
Enam belas ahli Parliman penyokong kerajaan hari ini menghadiri sidang Dewan Rakyat dengan memakai "bow-tie" dan ini menimbulkan perbahasan apabila ada ahli dewan yang mempertikaikan cara mereka berpakaian.
Enam belas ahli Parliman penyokong kerajaan hari ini menghadiri sidang Dewan Rakyat dengan memakai "bow-tie" dan ini menimbulkan perbahasan apabila ada ahli dewan yang mempertikaikan cara mereka berpakaian.
Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh) bangun membacakan Peraturan Mesyuarat 41(F) mengenai cara berpakaian bagi ahli Parlimen lelaki dan wanita.
Mengikut peraturan, katanya, ahli Parlimen lelaki perlu memakai sama ada pakaian kebangsaan atau "lounge suit" manakala anggota wanita memakai pakaian kebangsaan, sarung atau blaus lengan panjang atau skirt yang sekurang-kurangnya paras lutut dan blaus lengan panjang.
"Dan semua ahli boleh juga memakai pakaian adat istiadat atau apa-apa pakaian lain sebagaimana dibenarkan oleh Yang Dipertua, maksudnya dia mesti memberi kebenaran.
"Kalau tengok blok kiri bermula Arau, Dungun, semuanya pakai bow. Pada saya ini adalah melanggar peraturan dewan. Saya cadangkan mereka semua ini diminta supaya keluar dan pakai pakaian yang ditetapkan," katanya.
Menurut laporan Bernama, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menyokong saranan Mohd Alwi dan turut meminta Speaker Tan Sri Ramli Ngah Talib membuat satu ketetapan mengenai perkara itu.
"Saya sokong usul Ketereh supaya yang pakai bow minta keluar dan pakai pakaian yang diterima dewan," katanya.
Datuk Zaid Ibrahim (BN-Kota Baharu) pula menjelaskan pemakaian "bow-tie" menepati takrif "lounge suit" kerana mereka masih memakai tali leher, cuma yang dipakai mereka bentuknya berbeza daripada tali leher biasa.
Ikut peraturan
Datuk Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) antara yang memakai bow-tie hari ini turut mempertahankan bahawa cara berpakaian itu dibenarkan mengikut peraturan.
"Saya pun kurang faham sikit kenapa dua, tiga, empat orang pakai bow-tie hari ini... sama ada ini kebetulan atau soal yang lain. Saya pun memerhatikan juga," kata Ramli merujuk kepada ahli dewan yang memakai bow-tie.
Beliau kemudian berkata bahawa apa yang dipakai oleh mereka itu adalah pakaian yang sesuai.
Ramli turut menjelaskan bahawa ahli Parlimen bagaimanapun perlu memakai kot berwarna gelap dan kemeja berwarna lembut dan bukannya yang berwarna terang.
Dalam reaskinya kepada penjelasan Ramli itu, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) meminta semua ahli dewan, termasuk menteri kabinet, mematuhi cara berpakaian yang ditetapkan mengikut peraturan dewan.
Kesemua ahli Parlimen yang sebelumnya memakai bow-tie, dilihat kembali dengan mengenakan tali leher pada sesi persidangan petang.
Isu cara berpakaian di Dewan Rakyat tercetus bulan lalu selepas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Dr Rais Yatim hadir dengan memakai baju kemeja ala Nehru dengan blazer, yang dikatakan sebagai pakaian alternatif yang telah diluluskan Kabinet.
Tindakan Rais itu mendapat bantahan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional dan turut disentuh dari semasa ke semasa dalam sesi soal-jawab, perbahasan dan ketika penggulungan usul Rancangan Malaysia Ke-9.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.