Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCCBCHST gesa tarik balik kebenaran tubuh rakan siswa Yadim di sekolah
Diterbitkan:  Dec 29, 2019 3:06 PM
Dikemaskini: 7:06 AM

Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao Malaysia (MCCBCHST) menggesa Kementerian Pendidikan menarik balik kebenaran terhadap Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk melakukan kegiatan dakwah di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

"MCCBCHST melihat memo yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan (tentang kebenaran itu) dengan penuh kebimbangan.

"Ini kerana kegiatan dakwah dirancang untuk dilakukan dengan skala begitu besar di kalangan pelajar...Sekolah adalah tempat belajar, mendapatkan pengetahuan, meningkatkan daya saing dan belajar sains dan teknologi.

"Tetapi apa yang dirancang nampaknya mempromosikan kegiatan dakwah Islam di kalangan pelajar yang sepatutnya bukan perkara yang perlu ditumpukan di sekolah jenis kebangsaan.

"MCCBCHST menggesa Menteri Pendidikan menarik balik kebenaran kepada Yadim itu... Sekolah adalah tempat untuk belajar dan melengkapkan pelajar dengan kemahiran, bukan penyebaran mana-mana agama," kata majlis itu dalam kenyataan hari ini.

MCCBCHST memetik memo Kementerian Pendidikan bertarikh 27 November, yang memberi kebenaran untuk menubuhkan Rakan Siswa Yadim di sekolah, institut pendidikan guru Malaysia, politeknik, kolej komuniti, universiti awam dan beberapa universiti swasta.

Dalam kenyataan 24 Disember lalu, Kementerian Pendidikan berkata ia bukan langkah Islamisasi dan tertakluk kepada kebenaran sekolah dan institusi yang terlibat.


BacaSalah faham peranan Rakan Siswa Yadim dalam dakwah di sekolah


Kementerian itu juga berkata ia tidak melibatkan murid bukan Islam dan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah mubaligh.

"KPM memberi jaminan bahawa Rakan Siswa YADIM bertanggungjawab mematuhi peraturan sedia ada dan prinsip kebebasan beragama bagi murid bukan Islam. Sekolah juga diminta memantau dan memastikan aktiviti tersebut tidak sama sekali melibatkan murid yang bukan beragama Islam," katanya lagi.

Bagaimanapun MCCBCHST berkata mustahil untuk pegawai kementerian memantau semua sekolah yang terlibat dan menjamin peraturan dipatuhi.

Majlis itu juga mempersoalkan sama ada program itu benar-benar tidak melibatkan pelajar bukan Islam.

"Sasaran nampaknya pelajar bukan Islam kerana tiada persoalan tentang penukaran agama (kepada Islam) kepada pelajar yang sudah pun beragama Islam. Malah pelajar Muslim sudah pun belajar agama di bawah subjek Pendidikan Islam, maka Yadim tidak akan berbuat perkara sama," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS