MB kena paksa atau tak? ‘Overtaken by events,’ kata Ismail
Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim mengelak soalan mengenai dakwaan dia dipaksa menandatangani dokumen yang mengesahkan langkah pembesar negeri yang dipertikaikan untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Disoal Malaysiakini pada sidang media hari ini, Ismail menjawab ringkas bahawa kedua-dua isu berkenaan "overtaken by events" (sudah basi).
Malaysiakini: Datuk, mungkin ada update (kemas kini) status laporan polis Datuk dipaksa tandatangan (proklamasi turunkan Tunku Muhriz).
Ismail: Itu dah lama, overtaken by events dah. (Saya) tak ada ulasan untuk itu.
Malaysiakini: Tak ada update?
Ismail: Tak ada apa-apa.
Malaysiakini: Sebelum ini Datuk menyatakaan taat kepada Tuanku Muhriz tapi terpaksa...
Ismail: Itu dah overtaken by events. Saya beritahu tadi.
Malaysiakini: Kenapa tukar pendirian?
Ismail: Tak ada tukar pendirian, overtaken by events. Tak ada lagi dah, benda tu tak sebut dah.
Sebelum ini pada 3 Ogos, sehari selepas diangkat sumpah sebagai menteri besar, Ismail bertemu dengan kumpulan Undang Yang Empat yang dipertikaikan, dan penuntut takhta saingan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar.
Semasa pertemuan itu dia menandatangani dokumen yang mengesahkan pengisytiharan pembesar wilayah pada 19 April yang menyingkirkan Tuanku Muhriz.
Apabila perkara itu didedahkan kepada umum pada 6 September, Ismail menjarakkan diri daripada dokumen berkenaan sambil mengikrarkan kesetiaan kepada Tuanku Muhriz.
Apabila dokumen itu didedahkan pada 8 September, dia membuat laporan polis dan keesokan harinya mengeluarkan kenyataan mendakwa dipaksa menandatangani dokumen tersebut, sambil sekali lagi mengikrarkan kesetiaan kepada Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, pada 15 September, mesyuarat exco yang dipengerusikannya membuat keputusan untuk mengiktiraf Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah, selepas itu Ismail kekal dengan perubahan pendirian tersebut.
Dia kini terlibat dalam perebutan kuasa yang tegang dengan Tuanku Muhriz dan penyokong baginda - termasuk setiausaha kerajaan negeri yang mendapat sokongan daripada Putrajaya.
/file/attachments/orphans/IsmailLasim1_883710.png)

/file/attachments/orphans/MenteriBesarNegeriSembilanDatukIsmailLasimChiefMinisterpc240926ddd_387426.png)
/file/attachments/orphans/IsmailLasim2_490242.png)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2022/11/8c5e82598b23d548a7e1981315bf7a04.jpg)
/file/attachments/orphans/sfgsdfsfsd_122937.png)