Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MAINPP arah semua masjid P Pinang tak hadkan waktu operasi
Diterbitkan:  Dec 29, 2019 4:30 PM
Dikemaskini: 8:30 AM

Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) mengarahkan semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid di negeri itu supaya membuka semua masjid untuk tujuan solat fardu lima waktu.

Yang Dipertua MAINPP Abdul Malik Abul Kassim memaklumkan perkara itu  sebagai respons terhadap memo yang dikeluarkan sebuah masjid menghadkan operasi.

"Masjid hendaklah digunakan sebagai tempat orang Islam beribadat, terutamanya untuk solat fardu 5 waktu, solat Jumaat dan solat-solat lain, sebagai pusat kegiatan agama Islam dan pembangunan ummah dan pusat sumber maklumat penduduk serta maklumat tentang MAINPP,” katanya yang dipetik Free Malaysia Today (FMT).

Malik berkata, pengerusi dan ahli jawatankuasa kariah masjid tidak mempunyai kuasa mutlak untuk membuat sebarang keputusan berhubung waktu operasi dan hanya bertindak sebagai wakil MAINPP.

Sebelum ini tular satu memo di media sosial yang dikeluarkan oleh Masjid Jalan York Pulau Pinang bertarikh 24 Dis yang mengehadkan waktu operasi bermula 31 Dis ini.

Perkara itu dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang mengulas mengenainya di laman sosial Facebook.

Najib mempersoalkan waktu operasi masjid itu yang dihadkan dari 9.30 pagi hingga 9.30 malam setiap hari dan mempertikaikan bagaimanakah jemaah di masjid berkenaan hendak menunaikan solat fardu Subuh.

Sementara itu, pengerusi Masjid Jalan York, Georgetown, Dr Basheer Ahamed Abdul Kareem menjelaskan, berdasarkan hasil tinjauan yang dilakukan, pihaknya mendapati hanya satu hingga dua orang saja yang menunaikan solat subuh di masjid berkenaan.

Dalam pada itu Sinar Harian melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan memanggil Pengerusi Masjid Jalan York berhubung notis berkenaan.

Pengarah JHEAIPP, Zulkifli Long berkata, beliau telah mengarahkan pegawai tadbir agama JHEAIPP untuk berhubung dengan pengerusi masjid tersebut bagi mengadakan sesi perjumpaan secepat mungkin.

"Saya telah mengarahkan pegawai saya untuk memanggil pengerusi masjid bagi mendapatkan alasan mengapa notis had operasi masjid seperti itu dikeluarkan.

"Kita akan mengadakan perjumpaan secepat mungkin kerana mengikut notis itu, ia akan berkuatkuasa pada 31 Disember ini.

"Jadi, ada masa lagi untuk kita bincang. Pendirian JHEAIPP, mengehadkan waktu operasi masjid tidak sepatutnya berlaku kerana fungsi masjid adalah untuk ibadat. Ia sepatutnya dibuka setiap masa," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS