Terjemahan Sebuah badan pemantau bebas pilihanraya mendapati kawasan Sibu mempunyai peratusan tertinggi pemilih tanpa alamat (45.2%).

Selain dari itu, badan tersebut, Mafrel (Badan Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil) mendapati Sibu juga mempunyai jumlah pemilih teramai dalam satu alamat 94 orang.

Pengerusinya, Abdul Malek Hussin memberitahu sidang media semalam bahawa tiga kawasan pilihanraya dalam Parlimen Sibu Bawang Assan mempunyai 71.41% pemilih tanpa alamat, diikuti oleh Nangka (52.8%) dan Pelawan (21.22%).

Katanya, Bawang Assan mampunyai 51 hingga 100 pemilih yang masing-masing didaftarkan di bawah tiga alamat.

"Saya sendiri akan menyiasat alamat yang menyenaraikan 94 pemilih itu," kata Abdul Malik tetapi enggan memberi butir-butir lanjut mengenainya.

Menurutnya, Mafrel hanya mampu melakukan pengesahan terpilih senarai pemilih kerana faktor masa yang terhad.

Badan pemantau pilihanraya itu telah meneliti senarai pemilih di 11 kerusi negeri dalam lima kawasan Parlimen Sibu, Santubong, Petra Jaya, Bandar Kuching dan Miri.

Tiga tugas utama

Mafrel kini berada di Sarawak untuk melakukan pemantauan komprehensif pilihanraya negeri Sarawak yang dijadualkan pada 20 Mei depan.

"Mafrel akan melakukan tiga tugas utama mengesahkan senarai pemilih sebelum hari penamaan calon (9 Mei), memantau kempen pilihanraya serta hari pengundian," kata Abdul Malek.

Ini akan meliputi 25 hingga 30 kawasan pilihanraya, termasuk sesetengahnya di kawasan pedalaman yang dianggap penting.

Mafrel akan menggunakan tenaga sekurang-kurangnya 60 sukarelawan untuk membantu rangkaian pemantauan yang meliputi tiga zon utama Zon Utara (berpusat di Miri), Zon Tengah (Sibu) dan Zon Selatan (Kuching).

Mafrel juga akan membantu mendidik para pemilih dan menawarkan latihan, bila diperlukan, kepada ejen pengundian dan ejen pengiraan dari parti-parti politik dan para calon. Berita asal