Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Plus laksanakan sistem RFID di 10 plaza tol terpilih

Plus Malaysia Berhad (Plus) akan melaksanakan kutipan tol menggunakan teknologi identifikasi frekuensi radio (RFID) di 10 plaza tol di lebuh raya kendaliannya yang mengamalkan sistem terbuka untuk kenderaan kelas satu mulai 1 Jan depan.

Plaza tol sistem terbuka (tanpa mengira jarak perjalanan) terlibat ialah laluan di antara Jitra dan Kempas, Lebuhraya Butterworth-Kulim (Lunas dan Kubang Semang), Lebuhraya Seremban- Port Dickson (Mambau dan Lukut), Lebuhraya Laluan Kedua atau Linkedua (Perling, Lima Kedai dan Tanjung Kupang) serta Jambatan Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Operasi Plus, Zakaria Ahmad Zabidi, dalam kenyataan hari ini berkata pelaksanaan sistem itu dijangka dapat melancarkan lagi pergerakan trafik di lorong tol kerana pengguna lebuh raya tidak perlu lagi berhenti untuk menyentuh kad dan tambah nilai e-wallet menjadi lebih mudah kerana dilakukan secara dalam talian.

"Selain itu ia dapat mengurangkan isu kad elektronik tidak cukup baki, mengurangkan kejadian peranti SmarTAG hilang atau tidak mempunyai bateri atau diletakkan secara terbalik,” katanya.

Bagaimanapun, katanya mod pembayaran tol sedia ada iaitu melalui kad Touch 'n Go atau SmartTAG masih lagi relevan dan diterima seperti biasa di lebuh raya Plus, sementara di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor), sistem itu hanya boleh digunakan untuk caj jalan (tag RFID Vehicle Entry Permit) bagi kenderaan Singapura sahaja.

Pada masa sama beliau turut menasihatkan pengguna yang sudah mempunyai pelekat RFID Touch 'n Go untuk memastikan baki e-wallet mencukupi bagi menikmati perjalanan lancar dan selesa.

RFID Touch 'n Go merupakan pilihan mod pembayaran terkini yang menggunakan pelekat khas bercip yang ditampal pada kenderaan dan dihubungkan e-wallet bagi memudahkan pengguna menambah nilai tanpa perlu ke pusat tambah nilai.

Katanya lebih banyak pilihan pembayaran juga sedang dibangunkan sama ada menerusi kad debit atau kredit, serta e-wallet lain.

Syarikat itu dijangka akan memperluaskan sistem berkenaan di 83 plaza tol sistem tertutup (sistem berdasarkan kelas kenderaan dan jarak perjalanan) di lebuh raya kendaliannya pada 1 April 2020.

Orang ramai boleh mendapatkan pelekat RFID Touch 'n Go di 130 pusat pemasangan sedia ada atau menerusi pautan ini dan pautan ini.  

- Bernama

Lihat Komen
ADS