Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalid Samad: Sudah okay rasanya elaun dan gaji menteri

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berpandangan bahawa kadar elaun dan gaji bulanan yang diterima oleh para menteri dan timbalannya adalah memadai.

Selain itu, dedah pemimpin Amanah itu, gaji yang diberikan selaku menteri juga selalunya 30 peratus dimasukkan dalam akaun parti.

“(Elaun dan gaji menteri) rasa dah okay, kita punya gaji juga kalau dapat masuk dalam akaun parti.

“Macam Amanah, 30 peratus gaji masuk dalam akaun parti. Adillah kerana parti juga bantu kita (menteri dan ahli parlimen),” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media pencapaiannya di ibu pejabat kementerian di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan kepada kerajaan untuk memotong elaun ahli-ahli politik dan menteri.

Ini susulan kontroversi kerajaan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) di kalangan doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang baru menyertai perkhidmatan awam mulai tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Khalid menjelaskan bahawa menteri yang turut menyandang jawatan anggota parlimen cuma mendapat elaun dan gaji menteri sahaja.

“Menteri kita dapat gaji dan elaun dari menteri sahaja walaupun sebagai ahli parlimen.

“MP (ahli parlimen) kalau hadir dewan rakyat sehari dapat RM400, menteri tak dapat sebab itu elaun sudah dipotong.

“Siapa yang mengadu sebenarnya gaji menteri dulu (sewaktu zaman BN) lebih tinggi,” katanya.

Sebelum ini cadangan Syed Saddiq supaya elaun menteri dipotong turut disokong oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd Harun dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Antara elaun tetap yang dinikmati menteri setiap bulan adalah elaun keraian, elaun perumahan, elaun menteri kabinet, elaun pembantu rumah, elaun pemandu berjumlah hampir RM25,000 sebulan. Ini tidak termasuk elaun tidak tetap seperti elaun cuti, elaun harian, elaun makan dan elaun-elaun lain.

Walau bagaimanapun susulan desakan orang ramai, pemansuhan elaun kritikal itu kemudiannya ditangguhkan dengan persetujuan perdana menteri dan dilaporkan akan dibawa dalam mesyuarat kabinet akan datang untuk perbincangan.

Lihat Komen
ADS